SIBU, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 32 tahun hari ini dihukum penjara 30 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 717.67 gram dadah jenis metamfetamina pada Disember 2023.
Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Wong Kieng Li di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 12 Dis 2023.
“Setelah menimbang hujah kedua-dua pihak, rayuan dan kuantiti dadah yang terlibat serta keadaan kes ini, mahkamah memutuskan untuk tidak menjatuhkan hukuman mati,” katanya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta di sepanjang Jalan Oya di sini pada kira-kira 5 petang 12 Dis 2023.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh telah mengambil satu bungkusan yang mengandungi dadah itu dari kaunter kargo di Terminal Bas Sibu dan meletakkannya di dalam kenderaan terbabit.
Bagaimanapun, Wong dalam pembelaannya mendakwa dia hanya membantu rakan yang dikenali sebagai “Bai Mau” mengambil bungkusan yang disangka mengandungi lampu LED.
Mahkamah mendapati tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan terhadap bungkusan itu sekali gus mencetuskan anggapan statutori mengenai pemilikan serta pengetahuan di bawah akta berkenaan selain menolak penjelasan Wong kerana dia gagal memberikan butiran mengenai rakan yang dikatakan atau mengemukakan saksi bagi menyokong dakwaannya.
Hakim itu juga berkata terdapat percanggahan dalam keterangan tertuduh termasuk memberikan nombor kad pengenalan yang tidak tepat serta nombor telefon palsu ketika mengambil bungkusan tersebut.
“Kesemua keadaan ini secara keseluruhan menjadikan versi tertuduh tidak munasabah dan tidak mampu menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Terdahulu, peguam Daren Ling memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak adalah penyara tunggal keluarga sebelum ditahan.
Peguam itu, yang memohon agar mahkamah tidak mengenakan hukuman mati, berkata tertuduh juga telah bekerjasama dengan polis sepanjang siasatan kes tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto berhujah bahawa jumlah dadah dalam kes tersebut adalah besar, dan peranan aktif tertuduh dalam pengangkutannya mewajarkan dia dikenakan hukuman yang berat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial