WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kestabilan Negara Bergantung Kepada Kekuatan Perpaduan Rakyat - PM Anwar

17/03/2026 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kestabilan sebenar negara bergantung kepada kekuatan perpaduan rakyat serta kesediaan untuk bergerak bersama demi masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa serta global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kunjungannya ke Sabah memberi peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil serta golongan muda yang disifatkan sebagai harapan masa depan negeri dan negara.

“Sabah mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia bukan sekadar pada hasil bumi, tetapi juga pada keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati, selain komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Sabah semalam yang menyaksikan beliau menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, selain program Mini Konvensyen Keadilan serta Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat negeri Sabah.

Beliau turut meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan University Apartment, Sepanggar sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama rakyat Sabah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan