WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Eropah Tolak Gesaan AS Kerah Tentera Laut Ke Selat Hormuz

17/03/2026 11:46 AM

BRUSSELS, 17 Mac (Bernama-Anadolu) -- Negara-negara Eropah menolak gesaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengerahkan tentera laut ke Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat untuk terlibat secara ketenteraan dalam konflik yang semakin meruncing dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Usai mesyuarat menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas berkata pada Isnin, negara anggota "tidak mempunyai keinginan untuk terlibat secara aktif dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran" dan menekankan bahawa Eropah "tidak mempunyai kepentingan dalam perang terbuka."

Kallas menekankan bahawa EU menumpukan pada mengukuhkan keselamatan maritim namun mengesahkan kurangnya minat dalam kalangan negara anggota dalam mengembangkan misi semasa seperti Operasi Aspides di Laut Merah atau melanjutkannya ke Selat Hormuz.

"Tiada siapa yang mahu terlibat secara aktif dalam perang ini," katanya sambil menyatakan keutamaan blok itu adalah untuk terus memelihara kebebasan pelayaran dan mempergiat usaha diplomatik.

Menteri Luar Itali Antonio Tajani mengulangi pendirian itu, menggariskan bahawa misi tentera laut EU yang ditugaskan untuk mengiringi kapal dagang dan operasi antilanun tidak direka untuk beroperasi di Selat Hormuz.

"Kami bersedia untuk mengukuhkan misi-misi ini," katanya sambil menambah: "Tetapi saya tidak fikir ia boleh diperluas untuk merangkumi Selat Hormuz."

Jerman turut menolak menghantar pasukan ke Teluk. Canselor Friedrich Merz berkata Berlin "tidak akan berbuat demikian" dan menggesa penyelesaian politik segera konflik.

Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius memberi amaran bahawa mengerahkan pasukan di luar kawasan NATO akan memerlukan kelulusan undang-undang dan persetujuan parlimen sambil menyatakan: "Ia bukan perang kami; kami tidak memulakannya. Kami mahukan penyelesaian diplomatik dan konflik ditamatkan dengan segera.” 

Perdana Menteri UK Keir Starmer juga menolak tekanan AS untuk menyertai usaha ketenteraan di rantau itu, dengan menyatakan bahawa Britain "tidak akan ditarik ke dalam perang yang lebih besar" dan menekankan bahawa sebarang penempatan (tentera) mesti mempunyai mandat undang-undang.

Poland dan Belgium turut menegaskan tumpuan mereka terhadap diplomasi dan kestabilan serantau sekali gus menolak desakan daripada Washington untuk menyumbang aset tentera laut.

Menteri Luar Poland Radoslaw Sikorski mengkritik Presiden AS Donald Trump kerana meletakkan NATO sebagai berasingan daripada AS sambil menggesa penyertaan Eropah dalam operasi ketenteraan di Teluk.

Perdana Menteri Belgium Bart De Wever mengesahkan kedudukan kerajaannya, memberitahu parlimen bahawa Belgium tidak akan menyertai sebarang serangan bersama AS dan Israel.

Terdahulu pada Isnin, Trump berkata "banyak negara" sedang bersedia untuk membantu AS membuka semula Selat Hormuz tetapi tidak menamakan mereka, menyatakan kebimbangan bahawa mereka boleh menjadi sasaran Iran.

Selat Hormuz menjadi pusat kebimbangan pasaran tenaga global sejak Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan penutupannya kepada kebanyakan kapal selepas serangan AS-Israel ke atas negara itu yang bermula pada 28 Feb.

Sebelum perang, kira-kira 20 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari. Gangguan terhadap laluan air itu telah mendorong kenaikan harga minyak.

Serangan AS-Israel ke atas Iran setakat ini telah membunuh lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei ketika itu.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan