WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPG Lancar Platform Penjagaan Warga Emas Di Singapura, Malaysia

17/03/2026 03:32 PM

SINGAPURA, 17 Mac (Bernama) -- Syarikat pengurusan aset alternatif global TPG menubuhkan One Aged Care, sebuah kumpulan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi warga emas yang beroperasi di Singapura dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, TPG berkata entiti berkenaan menggabungkan tiga perniagaan yang saling melengkapi iaitu ECON Healthcare, Orange Valley Nursing Homes dan Ambulance Medical Service (AMS) di bawah satu struktur pegangan bersepadu.

Strategi itu membolehkan penyampaian perkhidmatan penjagaan berkualiti tinggi dan bersepadu merangkumi komuniti serta keseluruhan rantaian penjagaan warga emas di kedua-dua negara.

“Dengan penggabungan ECON Healthcare, Orange Valley dan AMS, One Aged Care memulakan operasi dengan 16 fasiliti rumah jagaan yang menawarkan lebih 2,400 katil di Singapura dan Malaysia, selain menyediakan perkhidmatan ambulans kecemasan serta pengangkutan perubatan.

“Pendekatan ini akan memanfaatkan perkongsian sumber untuk meningkatkan liputan dan standard penjagaan, sekali gus memberikan akses lebih luas kepada perkhidmatan nilai tambah kepada komuniti,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif One Aged Care Ong Hui Ming berkata platform tersebut menyediakan asas lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan berterusan ECON Healthcare, Orange Valley dan AMS sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan yang mapan.

“Dengan menyelaraskan standard klinikal, rangka kerja kualiti dan keupayaan bersama di peringkat kumpulan, kami dapat meningkatkan kesinambungan penjagaan serta memperluas amalan terbaik merentas komuniti dan rantaian penjagaan warga emas, sambil mengekalkan identiti serta kekuatan setiap jenama,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan dan Ketua Bersama Asia TPG, Ganen Sarvananthan, berkata peralihan demografi di rantau ini melonjakkan permintaan terhadap penjagaan jangka panjang berkualiti.

“Penubuhan kumpulan penjagaan kesihatan yang berskala dan diurus secara profesional seperti One Aged Care mampu memenuhi permintaan tersebut, selain memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan dengan memanfaatkan teknologi.

“Kami menantikan kerjasama dengan Ong dan pasukan kepimpinan beliau dalam meneruskan pertumbuhan berdisiplin di Singapura, Malaysia serta berpotensi di pasaran Asia Tenggara lain, seiring usaha rantau ini memenuhi keperluan populasi warga emas yang semakin meningkat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan