WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEGiM Akan Bincang Isu Kadar Tambang E-hailing - Loke

17/03/2026 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Sebarang perubahan dasar dalam industri e-hailing perlu dikaji dengan teliti kerana boleh memberi implikasi luas kepada keseluruhan ekosistem perkhidmatan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan dikemukakan oleh kumpulan pemandu e-hailing mengenai ketiadaan dasar tambang lantai atau minimum dalam industri berkenaan dan isu itu akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

“Sebarang perubahan dasar akan memberikan implikasi tertentu. Walau bagaimanapun, suruhanjaya (SEGiM) telah pun ditubuhkan dan isu berkaitan komisen serta kadar tambang akan dibincangkan di peringkat tersebut nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni dan mengedarkan 500 pek hari raya kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KL Sentral, di sini hari ini.

Baru-baru ini, pertubuhan Sahabat E-hailing Malaysia menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia struktur harga perkhidmatan e-hailing memandangkan terdapat ruang eksploitasi terhadap pemandu di bawah dasar sedia ada.

Menurut pertubuhan itu, kuasa penetapan tambang e-hailing diberikan sepenuhnya kepada syarikat penyedia perkhidmatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 (Akta A1552).

Kumpulan berkenaan memberi amaran bahawa tanpa penetapan harga lantai, pemandu akan terus terdedah kepada eksploitasi serta berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan