WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kenanga IB Naikkan Unjuran Inflasi 2026 Kepada 2.1 Peratus

19/03/2026 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menaikkan unjuran inflasi 2026 kepada 2.1 peratus daripada 1.9 peratus susulan konflik di Asia Barat yang berterusan, meskipun subsidi tenaga dan pengukuhan ringgit terus membantu mengawal harga.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan bertolak ansur dengan inflasi keseluruhan yang sederhana tinggi untuk melindungi pertumbuhan, manakala ringgit yang lebih kukuh membantu meredakan tekanan kos import.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga IB berkata Malaysia kekal lebih berdaya tahan berbanding kebanyakan negara serantau memandangkan statusnya sebagai pengeksport bersih tenaga menyediakan penampan fiskal melalui dividen Petronas dan hasil eksport yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kejutan komoditi global masih akan memberi kesan melalui inflasi tolakan kos.

“Gangguan di Selat Hormuz bukan sahaja mengancam aliran minyak, tetapi juga bekalan baja, yang mana kedua-duanya penting untuk sektor pertanian,” katanya.

Kenanga IB juga berkata kos input yang lebih tinggi berkemungkinan meningkatkan harga barangan asas seperti beras, ayam dan sayur-sayuran.

“Walaupun pemindahan fiskal terus menyokong permintaan, kos pengangkutan dan pertanian yang meningkat akan menghakis kemampuan untuk membeli.

 “Jika pengeluar memindahkan kos ini kepada pengguna, penggunaan swasta yang merupakan enjin utama pertumbuhan Malaysia, mungkin menjadi perlahan,” katanya.

Berhubung prospek dasar, bank pelaburan itu berkata BNM berkemungkinan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Ia juga berkata hasil daripada eksport tenaga memberikan ruang bernafas dalam jangka masa pendek, tetapi bank pusat menghadapi dilema yang lebih sukar apabila tekanan inflasi meningkat sementara pertumbuhan global beransur perlahan.

“BNM mesti mengimbangi usaha mengekang jangkaan inflasi dengan mengekalkan aktiviti domestik.

“Walaupun ringgit yang lebih kukuh membantu meredakan tekanan kos import, kadar dasar akan bertindak terutamanya sebagai penstabil terhadap turun naik luaran,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan