KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Umat Islam di negara ini disaran menyambut Aidilfitri secara sederhana dan mengelakkan pembaziran khususnya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata sambutan Aidilfitri adalah satu ibadah yang penuh makna, namun ia tidak seharusnya diraikan secara berlebih-lebihan kerana Islam melarang amalan pembaziran.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar berbelanja mengikut keutamaan dan kemampuan, selain mengelak perbelanjaan bersifat menunjuk-nunjuk atau sekadar mengikut trend semasa.
“Perbelanjaan perlu diberi keutamaan kepada perkara penting seperti pendidikan anak-anak dan keperluan kesihatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat terus berbelanja secara berhemat sepanjang meraikan Syawal.
Anwar sebelum ini menegaskan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.
Mengenai amalan rumah terbuka, Zamri berkata penganjurannya seharusnya berlandaskan tujuan asal iaitu merapatkan ukhuwah serta saling bermaafan, bukannya menonjolkan kemewahan.
Beliau berkata pembaziran sering berlaku apabila rumah terbuka disertai dengan persembahan artis terkenal yang memerlukan kos tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.
“Menu biarlah sederhana dan munasabah. Jangan terlalu memikirkan bentuk sambutan sehingga melupakan objektif asal, iaitu ziarah-menziarahi.
“Tuan rumah tidak perlu terbeban menyediakan juadah berlebihan, manakala tetamu pula hendaklah menjaga adab serta tidak mempertikaikan hidangan yang disediakan,” katanya.
Zamri turut menggalakkan umat Islam berkongsi rezeki dengan fakir miskin dan golongan kurang bernasib baik, yang disifatkan lebih utama berbanding berbelanja untuk perkara tidak perlu seperti menukar langsir atau perabot yang masih elok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial