WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Raja Muda Perlis Seru Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Rakyat Terus Dipupuk

19/03/2026 09:42 PM

KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar semangat perpaduan, saling menghormati dan nilai kasih sayang terus dipupuk dalam kalangan masyarakat demi memastikan kesejahteraan negeri dan negara sentiasa terpelihara.

Dalam perutusan bersempena dengan Aidilfitri yang akan disambut umat Islam di negara ini pada Sabtu, baginda turut menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

"Umat Islam diajak agar tidak melupakan saudara-saudara seagama yang sedang berdepan dengan pelbagai ujian dan penderitaan di beberapa negara yang sedang bergolak dengan terus mendoakan keamanan serta kesejahteraan buat mereka,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Perlis dan semua umat Islam.

“Setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan, Aidilfitri hadir sebagai lambang kemenangan dan kesyukuran, di samping menjadi kesempatan terbaik untuk mempererat hubungan silaturahim sesama keluarga, sahabat handai serta masyarakat,” titah baginda.

  -- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan