KUANTAN, 19 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati orang ramai, terutamanya mereka yang memandu pulang sempena Hari Raya, agar sentiasa bersabar dan berhemah di jalan raya.
Al-Sultan Abdullah menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini mengingatkan pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu, selain merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan tekanan dan keletihan sepanjang perjalanan jauh.
“Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Keselamatan hendaklah diutamakan agar semua dapat tiba ke destinasi dengan selamat,” titah baginda.
Menurut hantaran itu, baginda turut berkenan meninjau dari udara aliran trafik dari Lembah Klang menuju ke Pantai Timur yang mengalami kesesakan hari ini berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Pada masa sama, Sultan Pahang turut mendoakan agar semua rakyat yang pulang ke kampung halaman dipermudahkan urusan dan selamat tiba untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan keberkatan.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah menyediakan kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) sementara di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU), khususnya menjelang peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan dan cuti umum.
Beliau berkata langkah proaktif itu diambil bagi memastikan pengguna jalan raya tetap mendapat kemudahan asas yang selesa dan selamat sepanjang perjalanan mereka.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan tahun lepas, dengan penambahbaikan dari segi penyediaan kemudahan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan,” katanya dalam kenyataan.
Wan Rosdy turut menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan kemudahan disediakan sebaiknya dengan menjaga kebersihan, tidak membuang sampah merata-rata serta mematuhi disiplin semasa berada di kawasan R&R.
Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial