WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Itik Salai Terachi Tarik Pengunjung, Permintaan Meningkat Menjelang Aidilfitri

20/03/2026 09:41 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

KUALA PILAH, 20 Mac (Bernama) -- Kepulan asap yang menyelubungi deretan gerai itik salai berhampiran Terachi di sepanjang jalan Seremban-Kuala Pilah menjadi tumpuan pengunjung, terutama pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Hidangan yang terkenal dengan dagingnya yang kenyal dan enak itu terus mendapat permintaan tinggi sehingga menarik penggemar dari pelbagai lokasi, termasuk mereka yang sanggup datang dari luar Negeri Sembilan.

Penjual gerai Laman Salai Kampung Ibol Terachi, Nur Fatirah Mohd Normalah, 24, berkata menu itik salai antara hidangan popular untuk dibawa pulang sekiranya berkunjung ke Kuala Pilah.

"Menjelang Aidilfitri ini, kami berniaga hampir dua minggu tanpa bercuti disebabkan permintaan yang tinggi terutamanya untuk tempahan itik, daging dan ikan keli salai. 

"Kami juga membuat penghantaran pos ke negeri lain dan pelanggan kami dari Kedah, Johor, Selangor sehingga Sarawak. Itik salai ini boleh bertahan hingga lima bulan jika disimpan di dalam peti sejuk," katanya kepada Bernama.

Nur Fatirah berkata penggunaan tempurung kelapa dalam proses pembakaran menjadi keistimewaan itik salai di gerainya, selain menghasilkan aroma yang menyelerakan dan kebanyakan pelanggannya mahukan itik salai asli tanpa dicampur dengan garam atau kunyit.

Anak tunggal itu berkata, itik salai ini enak dihidangkan dengan masakan lemak cili api atau dimasak rendang yang dicampur dengan daun maman atau daun puding.

Nur Fatirah yang membantu ibunya menjalankan perniagaan keluarganya lebih 20 tahun itu berkata bagi meningkatkan jualan di gerainya, dia turut menggunakan platform TikTok untuk mempromosikan produk jualannya.

"Setakat ini saya cuma ambil tempahan melalui WhatsApp sahaja. Saya belum pasarkan jualan saya ini di TikTok, saya hanya membuat 'live' sahaja, pelanggan yang berminat boleh hubungi saya.

“Untuk penghantaran, saya guna kaedah sejuk beku, jadi pesanan biasanya sampai dalam tempoh 24 jam, tetapi kalau di Sarawak, ambil sedikit masa sebab saya pos menggunakan kapal terbang.

"Pelanggan dari Sarawak itu merupakan pelanggan tetap kami, selalunya dia akan tempah enam ekor itik salai," katanya sambil menambah harga bagi seekor itik salai seberat dua kilogram ialah RM50.

Menjelang seminggu sebelum perayaan kali ini, dia menerima tempahan lebih 100 ekor itik salai serta beberapa produk lain seperti daging, ikan keli, ayam kampung, ayam pencen dan burung puyuh salai.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan