WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Sambut Baik Gencatan Senjata Sementara Pakistan, Afghanistan

20/03/2026 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata sementara antara Pakistan dan Afghanistan sempena sambutan Aidilfitri, selain menggesa semua pihak meneruskan usaha de-eskalasi ke arah keamanan berkekalan.

Beliau menyampaikan pesanan itu ketika perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, dalam perjalanan pulang selepas lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, hari ini. 

“Pada masa sama, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah yang melibatkan Iran, serta menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan eskalasi dan mengutamakan dialog,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Anwar turut menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada Shehbaz, selain menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan erat dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Pakistan memaklumkan bahawa negara itu telah menggantung sementara operasi ketenteraan dalam wilayah Afghanistan atas permintaan Arab Saudi, Qatar dan Turkiye sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Penerangan Pakistan Attaullah Tarar dalam satu kenyataan berkata gencatan senjata sementara itu bermula pada tengah malam Rabu dan akan berlarutan sehingga tengah malam Isnin.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan