WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Kesihatan Teliti Naik Taraf Pusat Latihan Klinikal Bukit Ilmu

22/03/2026 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti cadangan pembaikan Pusat Latihan Integrasi Klinikal dan Trauma Life Support Malaysia (TLSM) Kebangsaan di Bukit Ilmu, Hospital Sungai Buloh, Selangor yang berusia lebih 100 tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan pelaburan berjumlah RM485,000 itu merupakan pelaburan modal insan yang kritikal bagi memastikan petugas kesihatan terus kompeten dan mahir dalam menyelamatkan nyawa.

“Insya-Allah, kami akan usahakan,” katanya menerusi hantaran Facebook selepas menyantuni petugas hospital itu sempena Aidilfitri, hari ini.

Beliau berkata Hospital Sungai Buloh memikul tanggungjawab besar sebagai pusat rujukan nasional dan menjadi tunjang kepada koridor Selangor Utara termasuk kawasan Parlimen Kuala Selangor.

Sehubungan dengan itu, Dzulkefly berkata komitmen terhadap penambahbaikan infrastruktur akan terus diberi perhatian termasuk keperluan baik pulih segera di Unit ICU dan dewan bedah serta kebajikan petugas.

Sementara itu, Hospital Sungai Buloh menerusi hantaran Facebook sebelum ini memaklumkan pusat latihan tersebut nadi utama dalam usaha melahirkan profesional kesihatan berkemahiran tinggi dalam bidang kecemasan dan trauma.

Hantaran itu memaklumkan pusat berkenaan turut berfungsi sebagai pusat rujukan kebangsaan yang menyediakan latihan berterusan kepada doktor, jururawat dan paramedik dari seluruh negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan