WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Titi Roboh Di Pulau Gaya, Penduduk Jatuh Ke Laut Ketika Beraya

22/03/2026 05:09 PM

KOTA KINABALU, 22 Mac (Bernama) -- Titi kayu di sebuah perkampungan atas air di Pulau Gaya, dekat sini roboh, semalam menyebabkan beberapa penduduk yang sedang melakukan ziarah Aidilfitri di kampung itu terjatuh ke dalam laut.

Bagaimanapun insiden melibatkan kemudahan titi yang dipanggil jambatan di Kampung Selamat, Lok Urai itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan ketika orang ramai meraikan hari pertama Syawal.

"Ketika rakan-rakan kita sedang bergembira meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa, sebuah ‘jambatan’ di Kampung Selamat, Lok Urai, Pulau Gaya dilaporkan roboh sehingga mengakibatkan beberapa penduduk terjatuh ke dalam laut.

"Amat memilukan apabila kejadian ini menimpa mereka yang sedang berbaju baharu dan bersiap menyambut hari kemenangan, namun terpaksa berdepan dengan dugaan yang tidak dijangka," menurut kenyataan itu.

Pejabat ADUN Tanjung Aru memaklumkan pihaknya memohon agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan, khususnya dalam memastikan penyelenggaraan serta pemantauan berkala ke atas kemudahan awam seperti jambatan, terutama yang telah usang dan berisiko.

"Keadaan ini bukan sahaja mengancam keselamatan, malah boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai. Kami berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan