WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indonesia Jangka Mudik Aidilfitri Sokong Pertumbuhan Ekonomi 5.5–5.6 Peratus

23/03/2026 05:57 PM

JAKARTA, 23 Mac (Bernama) -- Indonesia menjangka momentum mudik Aidilfitri atau pulang berhari raya akan menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi 2026 sebanyak 5.5 hingga 5.6 peratus setahun, berikutan peningkatan mobiliti dan perbelanjaan awam semasa musim perayaan.

Jurucakap Kementerian Koordinasi Bidang Ekonomi, Haryo Limanseto, berkata unjuran ini berasaskan pengalaman Aidilfitri tahun lalu, yang mencatatkan 154.62 juta orang melakukan perjalanan di seluruh negara, dengan pergerakan dan perbelanjaan tahun ini dijangka meningkat lebih tinggi.

Beliau berkata, unjuran tersebut dibuat walaupun terdapat tekanan global akibat ketegangan geopolitik, termasuk konflik di Asia Barat, dengan menekankan bahawa asas ekonomi Indonesia kekal kukuh.

“Selain itu, kerajaan komited untuk tidak menaikkan harga bahan api pada masa ini, supaya kuasa beli rakyat dapat dikekalkan.

“Oleh itu, bagi Aidilfitri tahun ini, kami optimis ekonomi mampu menunjukkan prestasi lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi, menjangka kira-kira 76.24 juta penduduk akan menggunakan kenderaan persendirian semasa tempoh mudik Aidilfitri 2026.

Dudy berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan 31,000 bas, 840 kapal laut, 254 feri, 372 pesawat dan 3,687 unit kerabak kereta api bagi menyokong tempoh perjalanan tersebut.

Haryo menjelaskan bahawa polisi Bekerja Dari Mana Saja (Work From Anywhere, WFA) membolehkan perantau terus bekerja sambil berada di kampung halaman, memanjangkan tempoh tinggal dan mendorong peningkatan perbelanjaan.

“Dengan meneruskan kerja sambil menerima pendapatan penuh, perantau mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti dan berbelanja, sekali gus meningkatkan peredaran wang dan mengukuhkan aktiviti ekonomi semasa Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata bahawa unjuran itu disokong oleh pelbagai langkah rangsangan kerajaan, termasuk lebih Rp12.8 trilion dalam rangsangan fiskal dan Rp11.92 trilion bantuan sosial yang diagihkan kepada 5.04 juta keluarga penerima sebelum Aidilfitri.

Selain itu, sejumlah Rp911.16 bilion telah diperuntukkan untuk diskaun tambang pengangkutan bagi meringankan kos perjalanan dan menggalakkan mobiliti.

Haryo berkata, perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang sekitar 53 hingga 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dijangka kekal sebagai pemacu utama prestasi ekonomi.

Beliau berkata bahawa aktiviti mudik secara tradisi menyumbang sekitar 1.5 peratus kepada pertumbuhan ekonomi tahunan, berdasarkan kajian 2023 oleh Badan Pusat Statistik (BPS), hasil daripada peningkatan perbelanjaan dan pengagihan semula aliran wang ke kawasan luar bandar.

Selain itu, perbelanjaan isi rumah biasanya meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa tempoh ini, manakala Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di daerah melihat peningkatan pendapatan antara 50 hingga 70 peratus akibat kesan pengganda yang kukuh daripada perbelanjaan pelancong.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan