WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOF Sekat MyKad Individu Salah Guna Subsidi BUDI95

23/03/2026 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) akan menyekat kad pengenalan individu dikesan menyalahgunakan bantuan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mengisi petrol bersubsidi itu ke dalam tong atau bekas kosong yang tular di media sosial.

MOF dalam kenyataan memaklumkan perbuatan itu jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan.

“Siasatan mendapati individu terbabit warganegara Malaysia dan pemegang MyKad. Susulan itu, MOF akan mengambil tindakan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUDI95,” menurut kenyataan itu. 

MOF memaklumkan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.

Terdahulu, tular rakaman video di stesen minyak memaparkan perbuatan dua individu mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah tong yang diletakkan pada tempat letak barang sebuah kenderaan.

MOF memaklumkan kerajaan menghargai rakyat yang cakna serta menyalurkan aduan berhubung isu itu dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab. 

Orang ramai dialu-alukan terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi dengan menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI menerusi talian 1300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595 atau e-mel budimadani@treasury.gov.my.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan