WILAYAH - UTARA > BERITA

Kanak-kanak Lapan Tahun Lemas Ketika Mandi Sungai

24/03/2026 11:31 PM

SIK, 24 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun lemas ketika mandi di Sungai Muda, Kampung Tanjung Jeneri, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sik DSP Safuan Md Noor berkata mangsa, Muhammad Fatah Saiful, murid Sekolah Kebangsaan Kota Bukit, di sini, keluar dari rumah kira-kira 2 petang untuk bermain basikal dengan rakan-rakannya.

Beliau berkata mangsa kemudian dikatakan pergi ke sungai bersama rakannya pada 4.30 petang dan dipercayai terus tenggelam selepas terjun ke dalam sungai.

“Jarak rumah mangsa ke sungai hanya lima minit berjalan kaki. Mangsa tidak pandai berenang dan dikatakan kali pertama pergi ke kawasan tersebut untuk mandi.

“Rakannya sempat mendapatkan bantuan orang kampung dan seorang lelaki penduduk kampung itu bertindak terjun ke dalam sungai serta berjaya mencapai kaki mangsa lalu menarik mangsa hingga ke tebing,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Safuan berkata ibu mangsa menyedari kejadian berkenaan selepas menerima panggilan pada 5 petang,  memaklumkan anaknya ditemukan tidak sedarkan diri akibat lemas ketika mandi.

Beliau berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa dan polis menolak kemungkinan wujudnya unsur khianat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan