WILAYAH - UTARA > BERITA

Program AUM Agrobank Tingkat Jualan PKS Perak Kepada RM6.05 Juta

02/04/2026 10:53 PM

IPOH, 2 April (Bernama) -- Program Agrobank Upward Migration (AUM) berjaya meningkatkan hasil jualan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perak kepada RM6.05 juta bagi 2025 yang bermatlamat menjamin sektor keterjaminan makanan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pencapaian itu direkodkan berdasarkan hasil peningkatan prestasi 27 syarikat yang menyertai program berkenaan.

Katanya, lonjakan jualan pula sebanyak 42.21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Program AUM dalam meningkatkan daya saing serta memperkukuh kapasiti perniagaan usahawan tempatan. 

“Selain itu, program ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat apabila 11 syarikat berjaya mengembangkan operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada komuniti,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Aspirasi Kecemerlangan di bawah Program AUM Negeri Perak di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) Mohd Azhar Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Ahmad Ariff Abu Bakar. 

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Majlis Aspirasi Kecemerlangan kali ini menjadi platform untuk meraikan pencapaian usahawan di Perak yang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. 

“Melalui bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan Agrobank, sebanyak enam syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM319,000 menerusi Program AUM,” katanya.

Program AUM Negeri Perak melibatkan seramai 41 usahawan yang diraikan pada majlis berkenaan atas pencapaian cemerlang sepanjang tempoh program. 

Pada majlis yang sama, Agrobank turut mengiktiraf lima syarikat yang mencatat pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori antaranya Peningkatan Jualan, Pengembangan Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penambahan Kapasiti (Teknologi) serta Penambahan Kapasiti (Pembiayaan). 

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata Program AUM dirangka sebagai inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang mengintegrasikan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal. 

“Sepanjang tempoh program, peserta mengikuti sesi latihan secara fizikal dan dalam talian serta menerima bimbingan peribadi di premis perniagaan masing-masing. 

“Modul yang ditawarkan merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran digital, perancangan perniagaan dan amalan pengurusan mengikut piawaian korporat,” katanya. 

Di samping itu, majlis malam ini turut menyaksikan Mohd Azhar menyampaikan sijil kepada peserta Program Bimbingan Usahawan Perak SADC yang merupakan inisiatif tajaan perbadanan tersebut dengan para peserta menerima bimbingan daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE). 

Program berkenaan dirangka khusus untuk memperkasa usahawan di bawah naungan Perak SADC melalui pendekatan latihan berstruktur dan bimbingan berterusan.

Seramai 10 orang peserta berjaya mengikuti program itu menerusi beberapa siri latihan serta sesi bimbingan yang komprehensif. 

Hasil daripada bimbingan tersebut, para usahawan menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dengan jualan terkumpul perniagaan sebanyak RM1.6 juta, berbanding sebelum menyertai program itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan