WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Remaja Perempuan 13 Tahun Ditemukan Maut Di Sungai Buloh, Tiga Individu Diambil Keterangan

02/04/2026 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan maut di sebuah kediaman di Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.27 petang.

Beliau berkata pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Hafiz berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Tiga saksi telah diambil keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Amirul Amin Shukor di talian 013-669 5290 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan