JOHOR BAHRU, 3 April (Bernama) -- Tiga individu maut manakala dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang semalam.
Ketua Polis Johor Datuk CP Ab Rahaman Arsad berkata kejadian pada 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang dipandu seorang lelaki tempatan melanggar bahagian belakang sebuah van yang dinaiki mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, van berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori,” katanya dalam kenyatan awal pagi ini.
Beliau berkata tiga mangsa yang berada di dalam van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ab Rahaman berkata dua lagi penumpang van mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu lori dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pemandu treler telah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Pemandu treler akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat pagi ini untuk permohonan reman dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 4.24 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
Komander Operasi PBK II Zainal Abidin Che Deraman berkata setibanya di lokasi pada 4.55 petang pihaknya mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah van, sebuah lori treler jenis Volvo dan sebuah lori 10 tan, dengan tujuh mangsa terbabit.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit serta pembersihan kawasan kemalangan dilakukan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.35 petang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial