WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Reman Suspek Koperal Pukul Anggota Tentera Dilanjutkan Hingga Isnin

04/04/2026 08:53 PM

KUANTAN, 4 April (Bernama) -- Polis memperoleh perintah lanjutan reman terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal yang disyaki memukul tujuh rakan setugas, termasuk seorang yang cedera parah, di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata perintah lanjutan tahanan reman terhadap suspek bermula esok sehingga Isnin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa suspek berusia 37 tahun ditahan pada 1 April lepas bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota tentera di kem berkenaan pada 30 Mac.

Zaiham berkata seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di kawasan kem.

Suspek sebelum ini telah ditahan reman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April bagi membantu siasatan di bawah seksyen yang sama.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman memaklumkan bahawa mangsa yang cedera parah masih dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan