WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kepelbagaian Bukan Cabaran - Aaron

12/04/2026 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kepelbagaian di negara ini bukan satu cabaran, sebaliknya merupakan aset besar negara yang perlu dipelihara dan dimartabatkan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata setiap etnik membawa bersama sejarah, nilai, bahasa dan tradisi unik yang menyumbang kepada pembinaan sebuah negara dinamik, berwarna-warni dan berjiwa besar.

"Di Malaysia, kita berbangga kerana mempunyai kira-kira 70,000 rakyat daripada etnik Siam yang menjadi sebahagian daripada wajah kepelbagaian negara ini.

"Sesungguhnya, Malaysia berdiri megah atas kekuatan kepelbagaian lebih 200 etnik dan subetnik yang wujud di negara ini," katanya menerusi catatan di Facebook sambil mengucapkan selamat menyambut Perayaan Songkran kepada rakyat Malaysia  berketurunan Siam. 

Aaron berkata setiap komuniti tanpa mengira latar belakang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara merangkumi aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.

“Apabila satu komuniti diperkasakan, seluruh negara akan turut maju. Kepelbagaian etnik merupakan asas kepada perpaduan nasional yang membuka ruang untuk rakyat saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain," katanya. 

Beliau berkata dalam konteks Negara Bangsa, perkongsian identiti berlandaskan nilai saling hormat, semangat kebersamaan dan komitmen terhadap keamanan serta kemajuan negara menjadi teras utama menyatukan rakyat Malaysia walaupun berbeza dari segi budaya, bahasa dan kepercayaan.

"Inilah yang mengikat kita sebagai satu bangsa utuh, dengan kepelbagaian bukan memisahkan, tetapi menyatukan," katanya.

Mengenai Songkran, Aaron berkata perayaan itu disifatkan sebagai lambang kegembiraan, kesyukuran dan permulaan baharu yang diraikan bersama keluarga serta komuniti.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan