WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tahanan Pakistan Bolos Dipercayai Masih Dalam Negara

12/04/2026 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, Selangor Khamis lepas, dipercayai masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata usaha mengesan suspek, Muhammad Hassan, 24, kini giat dijalankan dengan tumpuan pencarian dilakukan di seluruh negara.

"Suspek masih belum ditangkap, polis masih dalam tindakan mencari dan mengesan lelaki tersebut. Skop pencarian suspek masih dalam negara," katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pemeriksaan di semua pintu sempadan negara diperketatkan bagi mengelakkan suspek melarikan diri ke luar negara.

Lelaki itu melarikan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan