CYBERJAYA, 13 April (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Universiti Multimedia (MMU) dijangka mempercepatkan pembangunan industri kreatif negara melalui penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan dan kesan visual (VFX), selain melahirkan bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac berkata industri kreatif kini perlu bergerak berasaskan data dan teknologi, bukan lagi bergantung semata-mata kepada minat atau kreativiti semata-mata.
Beliau berkata kerjasama dengan institusi pendidikan seperti MMU penting bagi menyediakan latihan, teknologi serta data yang relevan kepada generasi muda untuk memahami keperluan sebenar industri.
"Kita mahu industri ini bergerak melalui data, bukan hanya berdasarkan rasa dan emosi. Dengan adanya teknologi seperti AI (kecerdasan buatan) dan VFX, industri kreatif akan terus berkembang dan kita perlu pastikan generasi baharu bersedia untuk menyertainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FINAS yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud, di sini hari ini.
Hans berkata pendekatan berfokuskan pasaran juga penting dalam memastikan kelangsungan industri kreatif, memandangkan tidak semua individu yang memasuki industri itu akan kekal dalam jangka panjang.
Namun, beliau berkata pendedahan awal kepada industri tetap penting bagi membina asas bakat dan meningkatkan kefahaman terhadap potensi kerjaya dalam sektor berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sasaran jangka panjang FINAS adalah untuk meningkatkan daya saing kandungan tempatan di peringkat serantau sebelum menembusi pasaran global.
"Kita tidak boleh buat filem hanya untuk Roads to Oscars. Kita perlu membina kekuatan di peringkat ASEAN terlebih dahulu (dan) jika kandungan kita berjaya di Asia Tenggara, barulah kita boleh menembusi pasaran Asia yang lebih besar seperti China, Hong Kong dan India," katanya.
Beliau berkata kejayaan filem tempatan di festival antarabangsa serta penjualan kandungan ke pasaran luar negara merupakan petunjuk penting kepada kemajuan industri, selain pengiktirafan melalui anugerah.
"Anugerah adalah satu perkara, tetapi yang lebih penting ialah filem kita dapat dijual dan dimonetisasi. Kita perlu melihat industri ini bukan sahaja dari sudut kreativiti, tetapi juga dari sudut perniagaan," katanya.
Beliau berkata bahawa kerajaan menyediakan peruntukan khusus untuk latihan belia dalam industri kreatif, selaras dengan usaha memperluas peluang pekerjaan kepada generasi muda.
"Sebenarnya, tahun lepas dan tahun ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberi kita bajet untuk latihan untuk belia.. ini menunjukkan beliau tahu golongan muda adalah di mana kita perlu mula mengembangkannya," katanya.
Hans berkata inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) yang menawarkan rebat sehingga 30 peratus kepada produksi antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia telah membantu meningkatkan pemindahan teknologi, kemahiran dan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.
"Kebanyakan syarikat antarabangsa seperti Sony Pictures dan Disney yang pernah menjalani penggambaran di Malaysia mengiktiraf kru tempatan sebagai antara yang terbaik di dunia. Ini menunjukkan potensi besar industri kreatif negara," katanya.
Sementara itu, Mazliham berkata pendekatan pembelajaran berteraskan pengalaman praktikal terus diperkukuh dalam program kreatif bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran industri filem dan kandungan digital.
Menurut Presiden MMU itu, Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) di MMU merupakan antara fakulti dengan jumlah pelajar terbesar, didorong oleh perkembangan industri animasi tempatan yang dipelopori tokoh kreatif seperti Nizam Razak dan Muhammad Usamah Zaid Yasin melalui karya popular seperti Ejen Ali dan PapaZola.
Selain itu, beliau berkata seorang lagi alumni MMU yang juga pensyarah FCM, Dr Vimala Perumal, turut mencatat pencapaian apabila filem arahannya Vedigundu Pasangge muncul sebagai filem Tamil dengan kutipan box-office tertinggi di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial