JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Pengendali air Johor, Ranhill SAJ akan menggunakan set loji penyahgaram di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng, bagi menangani gangguan bekalan air susulan kemarau yang menjejaskan kawasan di gugusan Felda Lok Heng dan Felda Waha di Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata Ranhill SAJ ketika ini sedang giat memindahkan set loji penyahgaram itu yang berada di Forest City dekat Iskandar Puteri ke LRA tersebut.
Beliau berkata set loji itu mampu menghasilkan dua juta liter air terawat sehari dan kerja pemasangan telah siap sebanyak 34 peratus setakat ini.
"Insya-Allah, dijangkakan pada 20 April, loji penyahgaram ini akan beroperasi dan sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna di kawasan Lok Heng dan Waha untuk menerima bekalan air dari pili paip rumah mereka," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Mohamad Fazli berkata sebelum ini pelbagai usaha telah diambil untuk menangani isu itu namun tidak berjaya termasuk menggunakan air bawah tanah melalui telaga tiub serta pemindahan air dari Sungai Lukah.
Bagaimanapun, katanya, air Sungai Lukah memiliki kemasinan yang tinggi dan tidak boleh dipindahkan ke Sungai Ulu Sedili Kecil berikutan LRA Lok Heng tidak memiliki fasiliti untuk merawat air masin yang seterusnya membawa kepada usaha memindahkan loji tersebut.
"...dengan pemasangan set loji penyahgaram ini, diharapkan pemindahan air dari Sungai Lukah ke Sungai Ulu Sedili Kecil dapat dirawat meskipun dengan tahap kemasinan yang tinggi," katanya.
Beliau berkata paras air Sungai Ulu Sedili Kecil ketika ini juga masih belum mencukupi untuk memastikan LRA Lok Heng beroperasi semula.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang terkesan akibat situasi kemarau supaya bersabar dan menggunakan air secara berhemat, selain mendoakan agar hujan turun dalam masa terdekat bagi memulihkan keadaan.
Mohamad Fazli sebelum ini dilaporkan berkata kemarau berpanjangan sejak lebih dua bulan lepas menyebabkan Sungai Ulu Sedili Kecil kering, sekali gus mengakibatkan operasi LRA berkenaan terhenti sehingga menjejaskan 4,042 akuan pengguna.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial