GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti keperluan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Benih sebagai badan pengawal selia bagi memastikan standard benih negara memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.
Menurut kenyataan KPKM, langkah berkenaan merupakan satu daripada usaha menangani kebergantungan tinggi terhadap benih import.
KPKM memaklumkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 1 Tahun 2026 di MARDI Seberang Perai, Pulau Pinang, melibatkan wakil kementerian, agensi kerajaan serta pakar industri benih dan baka daripada sektor swasta.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut membincangkan penetapan hala tuju pengukuhan industri ruminan di Malaysia yang merangkumi komoditi kambing dan lembu bagi mencapai hasil produktiviti tinggi melalui penghasilan baka berkualiti serta pelaksanaan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta.
"Inisiatif Hab Benih Negara bertujuan memperkukuh agenda membangunkan bekalan benih dan baka tempatan sebagai langkah strategik bagi menjamin kestabilan bekalan serta keselamatan makanan negara.
"Agenda persediaan negara bagi menjamin bekalan benih sentiasa tersedia ini dilihat positif dan bertepatan terutamanya susulan krisis tenaga global yang telah memberi tekanan dan implikasi besar kepada rantaian bekalan makanan terutamanya perikanan, tanaman dan ternakan," menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian, Mohamad telah mengadakan lawatan ke Institut Pertanian Bumbong Lima (IPBL) sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta menarik minat golongan belia untuk menceburi sektor pertanian.
IPBL merupakan satu daripada enam institusi latihan pertanian utama di Malaysia yang menawarkan Program Sijil Pertanian dan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), dan sehingga kini, IPBL telah melahirkan 3,430 graduan mahir di bawah Program Sijil Pertanian manakala 148 graduan di bawah Program SKM.
Melalui program latihan yang ditawarkan, IPBL mampu melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pertanian, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kualiti benih dan baka tempatan.
"Pembangunan industri benih dan baka melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta turut menyumbang kepada peningkatan daya saing sektor agromakanan.
"Oleh itu, usaha berterusan dalam memperkasakan benih dan baka tempatan adalah kunci utama ke arah mencapai keterjaminan makanan dan pembangunan pertanian yang mampan agar usaha mengurangkan import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040 dapat dicapai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial