ALOR GAJAH, 16 April (Bernama) -- Selepas hampir dua tahun melaksanakan Projek Sejati MADANI di bawah sektor Pertanian dan Makanan, kini Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, mampu tersenyum bangga apabila berjaya menghasilkan kira-kira dua tan ikan tilapia dan keli sebulan.
Setiausaha JPKK Kampung Paya Rumput Dzalin Ayub, 58, berkata pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), bagi melaksanakan projek tersebut pada penghujung Mei 2024 selepas membuat permohonan pada Mac tahun sama.
“Projek ternakan ikan air tawar ini, sebenarnya merupakan projek yang diusahakan saya sendiri sejak 2016 selepas bersara daripada perkhidmatan swasta.
“Selepas terbaca mengenai Projek Sejati MADANI ini, saya terus mengusulkannya kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) JPKK Paya Rumput, sebelum mereka bersetuju untuk mengembangkan aktiviti penternakan ikan tilapia dan keli yang saya usahakan itu,” katanya kepada Bernama.
Dzalin berkata selain menerima peruntukan RM100,000 bagi program tersebut, beliau turut melaburkan modal sendiri sebanyak RM300,000, bagi memastikan bekalan berterusan dapat dihasilkan pada setiap bulan.
“Alhamdulillah, bermula daripada dua kolam yang dibuat menggunakan kanvas, projek ini berkembang kepada 68 tangki berkapasiti 3,000 liter selain tujuh kolam simen termasuk satu kolam takungan yang diusahakan di tanah seluas 0.2 hektar.
“Pada tahun lepas sahaja, projek ini berjaya menghasilkan kira-kira 18 tan ikan air tawar dengan keuntungan turut dikongsikan kepada JPKK Paya Rumput, bagi melaksanakan program-program pada peringkat kampung,” katanya.
Beliau berkata projek itu turut memberi manfaat kepada penduduk setempat, apabila enam anak tempatan diambil bekerja bagi membantunya di tapak projek penternakan itu.
Dzalin berkata penduduk juga mendapat bekalan ikan air tawar segar dengan harga lebih murah daripada pasaran, apabila diskaun turut diberikan kepada mereka.
“Lebih membanggakan apabila projek ini meraih tempat ketiga bagi kategori Projek Sejati MADANI sempena Anugerah Pembangunan Negara 2025.
“Selain aktiviti penternakan ikan, saya juga memberikan khidmat nasihat dan kursus kepada pihak yang mahu belajar mengenai penternakan ikan dalam tangki, dengan peserta termasuk daripada Singapura dan Indonesia pernah menghadiri kelas yang saya anjurkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial