Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) – Keupayaan Malaysia berunding dengan Iran untuk mendapatkan laluan selamat bagi import minyak mentahnya melalui Selat Hormuz, bukan menunjukkan kegagalan dalam prinsip undang-undang maritim antarabangsa, sebaliknya mencerminkan realiti bahawa hak di bawah undang-undang sering memerlukan sokongan diplomatik, kata seorang pakar logistik.
“Kedua-dua prinsip undang-undang dan penglibatan diplomatik adalah wajar, terutamanya dalam keadaan luar biasa seperti semasa konflik,” kata Presiden Institut Bertauliah Logistik dan Pengangkutan Malaysia (CILTM) Prof Dr Muhammad Zaly Shah kepada Bernama.
Kedua-dua konsep ini iaitu Konvensyen Undang-undang Laut (UNCLOS) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan usaha diplomatik, adalah tidak saling eksklusif, katanya.
Penglibatan terus Malaysia dengan Iran
Apa yang berlaku mencerminkan pembuatan keputusan pragmatik dalam amalan, apabila Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Presiden Iran secara langsung untuk mendapatkan pelepasan kapal tangki yang terkandas, katanya.
“Hak laluan transit itu adalah sah. Bagaimanapun, menguatkuasakan hak itu semasa konflik, terutamanya terhadap pihak yang tidak terikat dengan UNCLOS, adalah perkara yang berbeza. Tidak ada pasukan polis maritim mahupun mahkamah antarabangsa yang mampu memaksa pematuhannya secara serta-merta,” katanya.
Malaysia menandatangani UNCLOS apabila ia dibuka untuk ditandatangani pada 1982 dan mengesahkannya pada 14 Okt 1996.
Muhammad Zaly, yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari Universiti Teknologi Malaysia berkata pada dasarnya, menurut Perkara 38 UNCLOS, laluan transit melalui selat antarabangsa adalah hak yang boleh digantung
Kebimbangan itu timbul di tengah-tengah laporan pengenaan tol kapal oleh Iran dan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai sekatan yang menyasarkan trafik maritim yang melalui Selat Hormuz, merumitkan lagi penerapan prinsip laluan transit di bawah UNCLOS.
Bendahari Persatuan Undang-undang Maritim Malaysia Antarabangsa (IMSML) Abdul Azim Abd Razak turut melahirkan pandangan yang sama dengan berkata kerajaan biasanya perlu mengukuhkan hak undang-undang dengan diplomasi, penyelarasan dan pengurusan risiko yang praktikal.
“Malaysia dari segi sejarah menyokong navigasi percuma dan transit tanpa halangan. Ia berkemungkinan akan menolak sebarang percubaan pengenaan tol atau syarat untuk laluan semata-mata, kerana ini tidak konsisten dengan UNCLOS,” tambahnya.
Dilaporkan bahawa dua daripada tujuh kapal berkaitan Malaysia telah mendapat kebenaran Iran untuk transit di Selat Hormuz berikutan penglibatan peringkat tertinggi dan usaha diplomatik, dengan Iran dilapokan berkata bahawa ia “tidak pernah lupa pada rakan-rakannya”.
Muhammad Zaly ketika mengulas mengenai sama ada tindakan Malaysia berisiko menjadi contoh yang mana akses selat menjadi sesuatu yang boleh dirunding dan bukannya dijamin berkata isu itu telah menarik minat pengamal undang-undang maritim dalam konteks semasa.
Beliau berkata Malaysia menguruskan situasi itu dengan mengesahkan komitmennya terhadap kebebasan pelayaran di bawah undang-undang antarabangsa sambil melibatkan diri secara diplomatik bagi mendapatkan laluan perkapalan.
“Memperolehi laluan bebas tol menunjukkan manfaat hasil hubungan dua hala. Bagaimanapun, terdapat isu struktur yang wujud, iaitu setiap kali kita berunding untuk mendapatkan sesuatu yang sudah wujud sebagai hak yang sah, ia menghantar isyarat bahawa hak itu, secara de facto, tidak dilaksanakan dengan sendirinya,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa jika corak itu sering diulang merentasi negeri, sempadan antara hak undang-undang dan keistimewaan rundingan mungkin akan terhakis secara beransur-ansur.
“Walaupun ini mungkin tidak berlaku secara dramatik dari segi dasar, keadaan sedemikian tetap memberi kepentingan dalam tempoh jangka panjang,” tambahnya.
Risiko terdahulu dan implikasi Selat Melaka
Berdasarkan kepada sudut pandangan Malaysia sebagai sebuah negara di pesisiran Selat Melaka, beliau berkata Malaysia, sebagai pengurus bersama salah satu laluan maritim paling penting di dunia (mengendalikan kira-kira satu perempat daripada perdagangan global), secara langsung akan terjejas sekiranya norma global beralih ke arah membenarkan negara-negara di selat itu memiliki budi bicara ke atas syarat-syarat transit.
“Kebolehgunaan prinsip ini secara universal adalah penting, jika tidak, ia tidak akan terpakai di mana-mana,” katanya.
Sehingga awal 2026, Selat Melaka merupakan laluan sempit utama bagi perdagangan minyak dan kontena global, mengendalikan kira-kira 23.2 juta tong minyak sehari dan menyumbang sekitar 29 peratus daripada aliran minyak maritim global, sekali gus menjadikannya laluan sempit minyak paling sibuk di dunia.
Selat itu menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik serta berperanan sebagai laluan laut terpendek antara Asia Barat dan pasaran utama di Asia Timur dan Tenggara, dengan lebih 70 peratus daripada trafik itu terdiri daripada minyak mentah menuju ke China, Jepun dan Korea Selatan.
Mengenai persoalan risiko kepada Selat Melaka jika situasi yang sama berlaku, Muhammad Zaly berkata Malaysia perlu bertindak balas dengan pantas dan tegas dengan menggunakan mekanisme diplomatik dan perundangan.
“Malaysia akan memetik Perkara 26 UNCLOS, yang merujuk kepada pengaturan pengurusan kerjasama yang telah lama wujud antara Malaysia, Indonesia dan Singapura serta berkemungkinan akan berdepan penelitian daripada rakan dagang utama termasuk China, Jepun, India, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang kesemuanya sangat bergantung kepada selat itu untuk aliran komersial,” katanya.
Beliau menambah bahawa peruntukan UNCLOS mengenai laluan transit adalah antara yang paling sukar untuk dirundingkan semasa proses penggubalannya selama sembilan tahun.
“Kesemua peruntukan itu direka khusus untuk menghalang negara-negara di selat itu daripada menjadikan pelayaran antarabangsa sebagai tebusan.
“Apa yang nampaknya berlaku hari ini melalui pengaturan dua hala, perbincangan mengenai tol dan pelepasan kes demi kes sebenarnya bertentangan dengan apa yang dimaksudkan oleh UNCLOS,” katanya.
Trend sedemikian, tambahnya, secara ketara akan menunjukkan satu kemunduran bukan sahaja bagi undang-undang maritim tetapi juga untuk percaturan antarabangsa berasaskan peraturan yang sentiasa disokong oleh Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial