WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Op Mulia: KDN Sita 6,620 Unit Teks, Bahan al-Quran Bernilai Lebih RM300,000 - Saifuddin

17/04/2026 06:51 PM

PELABUHAN KLANG, 17 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita 6,620 unit teks dan bahan al-Quran bernilai RM378,171.92 menerusi Op Mulia dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Mac lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN itu melibatkan pemeriksaan terhadap 1,758 premis bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986. 

"Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan bertanggungjawab mengambil tindakan sekiranya terdapat naskhah atau mushaf al-Quran yang mempunyai kesilapan atau tidak mematuhi piawaian ditetapkan pihak berkuasa agama.

"Sebarang perubahan walaupun pada baris atau huruf boleh membawa maksud berbeza, justeru aspek integriti mushaf perlu dipelihara," katanya pada sidang media selepas Program Pemurnian al-Quran di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata bagi tempoh berkenaan sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka bagi tindakan lanjut termasuk pendakwaan atau kompaun. 

Beliau berkata penguatkuasaan terhadap pengedaran kitab suci umat Islam itu tidak terhad kepada bahan bercetak semata-mata, malah meliputi mushaf dalam bentuk digital dan audio termasuk yang dijual menerusi platform e-dagang.

"Semua bentuk ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang terdiri daripada pakar dan ilmuwan Islam yang menilai kandungan secara menyeluruh. Mushaf yang mempunyai kod bar juga dipantau bagi memastikan ketepatan serta kelulusan kandungan," katanya. 

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pada program hari ini sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran dengan nilai RM2.7 juta dilupuskan melibatkan pelepasan bongkah seberat 1.5 tan ke dalam laut di sekitar perairan Pelabuhan Klang. 

Beliau berkata pelupusan itu dilaksanakan selepas melalui proses pemurnian ketat melibatkan pengoyakan, pengisaran, penghancuran dan pembakaran sehingga menjadi bongkah.

“Pada masa sama, Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) yang dilaksanakan sejak 2023 terus mencatatkan pencapaian positif dengan 725 program di seluruh negara, melibatkan pertukaran sebanyak 76,235 mushaf yang rosak, usang atau tidak diperakui kepada mushaf baharu yang diperakui KDN.

“Susulan kejayaan tersebut, program JEQ turut menerima pengiktirafan The Largest Quran Exchange daripada Malaysian Book of Records, sekali gus mencerminkan usaha berterusan KDN dalam memperkukuh pemeliharaan kesucian al-Quran serta meningkatkan kesedaran awam,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan