WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perak Ambil Tindakan Terhadap Penceroboh Tanah Kerajaan, Tingkat Kekerapan Rondaan Penguat Kuasa

21/04/2026 10:57 AM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk meningkatkan kekerapan rondaan petugas penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata undang-undang sedia ada mencukupi untuk menghukum pihak yang menceroboh tanah kerajaan, terutamanya di kawasan sensitif alam sekitar dengan tindakan pendakwaan ke mahkamah akan diambil yang melibatkan hukuman denda dan juga penjara jika disabitkan kesalahan.

“Bagaimanapun, undang-undang tanpa penguatkuasaan akan menyebabkan peraturan ini tidak dihormati. Oleh yang demikian, kerajaan negeri sangat komited untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya petugas penguatkuasaan dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

“Ia termasuk kekerapan mengadakan rondaan dan jika tidak cukup anggota, kita perlu mencari jalan supaya anggota itu dapat ditambah,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) yang ingin tahu jika kerajaan negeri bercadang mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman berkaitan pencerobohan tanah, khususnya di kawasan lesen menduduki sementara (LMS) yang melanggar peraturan dan kawasan sensitif alam sekitar.

Beliau berkata bagi pencerobohan dalam kawasan rizab hutan, tindakan akan diambil di bawah Akta Perhutanan 1984.

Antara tindakan yang telah diambil, menurut beliau di Bagan Datuk pada 30 Sept 2024 dengan operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi dilaksanakan di Kampung Sungai Lanchang bagi membanteras pembinaan kolam udang haram seluas 8.093 hektar.

Saarani berkata tindakan pemantauan berterusan juga dilakukan di kawasan hutan simpan paya bakau bagi memastikan tiada pencerobohan baharu berlaku.

Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan asal Shahrul Zaman berkaitan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap aktiviti pencerobohan tanah secara haram di sepanjang kawasan sungai dan pesisir pantai di Bagan Datuk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan