WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perkhidmatan Veterinar Tunjang Keterjaminan Makanan, Kesihatan Awam

21/04/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Perkhidmatan veterinar adalah tunjang utama dalam melindungi keselamatan makanan, kesihatan awam dan kebajikan haiwan di seluruh dunia, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Luqman Ahmad.

Beliau berkata peranan itu selari dengan tema Hari Veterinar Sedunia tahun ini, “Veterinarians: Guardians of Food and Health”, yang mengangkat profesion veterinar sebagai barisan hadapan dalam menjamin kualiti rantaian bekalan makanan serta kesihatan masyarakat.

“Tidak ramai menyedari bahawa perkhidmatan veterinar bertanggungjawab memastikan bekalan makanan adalah selamat, bersih, berkualiti dan suci pada seluruh rantaian pengeluaran, iaitu ‘dari ladang ke meja makan’ (from farm to table).

“Ia telah dilaksanakan oleh petugas barisan hadapan yang berganding bahu antara pihak kerajaan serta swasta, iaitu para veterinar dan paraveterinar yang kita raikan hari ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Veterinar dan Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Selangor, hari ini.

Luqman berkata aspek keterjaminan makanan kini menjadi penanda aras penting terhadap ketersediaan dan keupayaan sesebuah negara untuk membekalkan makanan yang mencukupi bagi rakyatnya.

Beliau berkata Malaysia perlu lebih serius dalam memperkukuh sistem makanan negara supaya lebih berdaya tahan dan mampan bagi memastikan pembangunan ekonomi serta sosial yang progresif.

“Ini termasuklah pelbagai usaha dalam meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan faktor pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan termasuklah keselamatan makanan,” katanya.

Sektor agromakanan negara kini berdepan pelbagai cabaran global dan domestik termasuk pertambahan populasi, pemanasan global serta persaingan guna tanah yang menuntut strategi penyelesaian yang lebih berkesan.

Lukman berkata perkhidmatan veterinar memikul tanggungjawab besar untuk memastikan negara mampu mengeluarkan bekalan daging, susu, telur dan ayam yang mencukupi bagi memenuhi Kadar Sara Diri (SSR) produk ternakan negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron mendedahkan isu kekurangan modal insan menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi sektor veterinar negara ketika ini.

Beliau berkata Malaysia kini hanya mempunyai kira-kira 2,600 pengamal veterinar aktif dan berdasarkan penanda aras antarabangsa, negara memerlukan sekurang-kurangnya 8,500 veterinawan bagi memenuhi keperluan semasa.

Mohd Noor Hisham berkata DVS masih kekurangan lebih 5,900 tenaga profesional veterinar, dengan nisbah semasa kira-kira seorang veterinar bagi setiap 13,700 penduduk, jauh berbeza berbanding nisbah ideal antarabangsa, iaitu 1:5,000 penduduk.

“Statistik ini memberikan isyarat jelas bahawa keperluan negara jauh mengatasi kapasiti sedia ada. Justeru, pembangunan modal insan veterinar perlu terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan negara dapat dipenuhi dengan lebih berkesan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, hanya dua institusi pengajian tinggi awam menawarkan program Doktor Perubatan Veterinar iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berupaya melahirkan kira-kira 180 hingga 220 graduan setahun.

“Ini belum mencukupi untuk menampung keperluan negara yang semakin berkembang. Kita menyambut baik perkembangan baharu apabila Management & Science University (MSU) turut melancarkan program Doktor Veterinar pada Ogos 2025. Beberapa institusi lain juga mula menunjukkan minat dalam bidang ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan