WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MINDEF, PKPS Jalin Kerjasama Usahakan Projek Pertanian Ehsan Perwira

21/04/2026 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi mengusahakan tanah seluas 8.09 hektar menerusi Projek Ehsan Perwira, yang menyasarkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penyerahan Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) projek berkenaan antara Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berlangsung hari ini di Pavilion MINDEF, bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026. 

Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin dalam sidang media selepas majlis berkenaan berkata sebagai permulaan sebanyak 8.09 hektar tanah milik MINDEF telah dikenal pasti di beberapa daerah di Selangor, termasuk Sabak Bernam dan Kuala Selangor. 

Beliau berkata untuk peringkat permulaan projek berkenaan dijangka melibatkan 40 peserta dalam  kalangan veteran ATM, yang akan mengusahakan tanaman jangka pendek seperti cili fertigasi dan timun.

"Melalui kerjasama itu, PKPS bertindak sebagai pengurus ladang yang menyelia aspek teknologi dan teknikal. Peserta dijangka berpeluang memperoleh pendapatan stabil kira-kira RM2,100 sebulan tidak termasuk bonus hasil jualan tanaman.

"Peserta juga mendapat jaminan pasaran bagi hasil tanaman mereka yang akan dibeli terus oleh PKPS untuk edaran di pasar borong di Selangor dan rangkaian Jualan Ehsan Rahmah," katanya.

Amirudin menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah strategik yang menggabungkan aset tanah milik kementerian dengan kepakaran pertanian kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh agenda keselamatan makanan negara, di samping menyediakan peluang kerjaya kedua buat pesara tentera.

Beliau berkata setiap peserta akan disaring terlebih dahulu oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran dan PKPS sebelum dilatih secara praktikal semasa projek berjalan bagi memastikan kemahiran teknikal dapat dikuasai terus di ladang, dan diberi peluang mengusahakan tanah seluas 0.2 hektar setiap seorang.

Bimbingan menyeluruh PKPS daripada aspek penyediaan tanah hingga pemasaran itu juga bertujuan membantu mengembangkan potensi golongan veteran yang dikenal pasti mempunyai kecenderungan dalam bidang jualan.

"Kerjasama berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan kitaran tanaman kira-kira tiga bulan bagi setiap pusingan tuaian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan