WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wartawan Bernama Terpilih Sertai Biasiswa Khazanah Wolfson Press Fellowship 2026

21/04/2026 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Zufazlin Baharuddin, telah terpilih menyertai Program Residensi Khazanah (KRP) Wolfson Press Fellowship 2026 anjuran Khazanah Nasional Bhd.

Zufazlin akan mengikuti program fellowship selama 10 minggu di Wolfson College, University of Cambridge, United Kingdom, bermula 4 Mei hingga 10 Julai 2026.

Selain beliau, turut terpilih ialah penulis khas The New Straits Times, Iylia Marsya Iskandar; editor Business Times, Muhammed Ahmad Hamdan; serta wartawan perniagaan The Borneo Post, James Wong.

Berpengalaman lebih 14 tahun dalam liputan pasaran modal dan Bursa Malaysia Securities Bhd, Zufazlin berkata kajiannya akan menumpukan kepada peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap dana kecemasan di Malaysia, dengan perbandingan terhadap United Kingdom.

“Kajian ini akan meneliti corak penggunaan berita dalam kalangan masyarakat, tindak balas mereka terhadap maklumat yang diterima, serta sejauh mana ia mempengaruhi tahap kesiapsiagaan kewangan. Diharapkan dapatan kajian ini dapat meningkatkan kesedaran awam serta memperkukuh peranan kewartawanan dalam literasi kewangan,” katanya pada majlis penyampaian anugerah fellowship di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj, dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi, Saraswathi Muniappan.

Zufazlin turut menzahirkan rasa syukur dan teruja atas pemilihan tersebut, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan bermakna selepas melalui proses permohonan dan temu duga yang kompetitif.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Editor Eksekutif Saraswathi Muniappan, yang sentiasa memberi dorongan untuk saya memohon fellowship ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj, serta Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi), Harlina Samson, atas sokongan terhadap projek saya,” katanya.

Sementara itu, Arul Rajoo berkata program tersebut merupakan platform penting yang membolehkan wartawan Bernama memperluas rangkaian profesional, memperkukuh pengetahuan serta memperoleh pendedahan global yang signifikan.

“Peluang seperti ini amat bernilai dalam memperkukuh keupayaan Bernama, khususnya dalam meningkatkan kualiti dan kredibiliti laporan berita kami,” katanya.

Dalam pada itu, Saraswathi menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Zufazlin, yang disifatkan mencerminkan konsistensi kecemerlangan pasukan berita ekonomi.

“Pemilihan beliau amat membanggakan kerana beliau merupakan wartawan kedua berturut-turut daripada meja ekonomi yang terpilih menyertai fellowship berprestij ini,” katanya.

Sejak 2013, Khazanah Nasional Bhd telah bekerjasama dengan Wolfson College dalam program ini, yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 33 rakyat Malaysia, terdiri daripada 23 wartawan dan 10 pengamal komunikasi korporat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan