TEHRAN, 21 April (Bernama-MNA) - Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata negaranya bersedia untuk mendedahkan strategi atau “kad baharu” di medan tempur sekiranya Amerika Syarikat (AS) dan Israel meneruskan serangan mereka.
Agensi berita Mehr (MNA) melaporkan Ghalibaf menerusi hantaran di laman X pada awal pagi Selasa, membidas Presiden AS Donald Trump yang didakwanya bertindak berdasarkan khayalan semata-mata.
Kenyataan beliau itu dibuat sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata yang berterusan oleh AS, susulan perjanjian yang dicapai dua minggu lepas. Ini termasuk tindakan sekatan maritim serta serangan ke atas kapal dagang Iran di Laut Oman pada Ahad.
"Trump, dengan mengenakan sekatan dan melanggar gencatan senjata, mahu - dalam khayalannya sendiri - mengubah meja rundingan menjadi meja penyerahan kalah atau untuk mewajarkan tindakan mencetuskan peperangan semula," kata penggubal undang-undang tertinggi merangkap ketua perunding itu.
Ghalibaf menegaskan bahawa taktik tekanan tidak akan membuahkan hasil di meja rundingan.
"Kami tidak menerima rundingan di bawah bayang-bayang ancaman. Sepanjang dua minggu lepas, kami telah mempersiapkan diri untuk mendedahkan kad baharu di medan peperangan," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pusingan rundingan seterusnya antara Tehran dan Washington kini diselubungi ketidaktentuan susulan pencerobohan terbaharu tentera laut AS di laut. Tentera Laut AS dilaporkan melanggar gencatan senjata dengan menyasarkan sebuah kapal dagang Iran di Laut Oman.
Tentera Iran menyifatkan insiden berkenaan sebagai pelanggaran etika maritim.
-- BERNAMA-MNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial