WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Filipina Sepakat Kepentingan Komunikasi Secara Berterusan Tangani Isu Keselamatan Tenaga - Akmal Nasrullah

22/04/2026 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia dan Filipina bersepakat mengenai kepentingan komunikasi secara berterusan bagi kedua-dua negara dalam menangani isu keselamatan tenaga.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara isu tersebut dibincangkan pada pertemuan dua hala antara Kementerian Ekonomi dan Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina Sharon S. Garin termasuk penjelasan berhubung urus niaga oleh pihak Filipina berkaitan diesel baru-baru ini, yang merupakan satu transaksi komersial antara syarikat dan tidak melibatkan sebarang perjanjian di peringkat kerajaan kepada kerajaan (G2G).

"Penjelasan ini penting bagi mengelakkan salah faham, mengekalkan hubungan baik dua hala dan memastikan pemahaman yang jelas dalam kalangan pihak berkepentingan, khususnya dalam situasi pasaran tenaga global yang mencabar," katanya menerusi hantaran di laman sosial kementerian itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen untuk terus menyokong semangat kerjasama ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global semasa.

Sebelum ini, Pasukan Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menafikan laporan media Filipina yang mendakwa Malaysia menghantar 329,000 tong diesel ke negara itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan