GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, di sini, bagi membincangkan persiapan penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Abdul Halim berkata pertemuan kira-kira 45 minit tersebut bertujuan menyelaras persiapan dan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran penganjuran program tersebut yang akan berlangsung di Pulau Mutiara pada Jun ini.
Beliau menyifatkan program HAWANA, yang dianjurkan Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, sebagai platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di negara ini.
“Ini merupakan penghargaan negara kepada bidang kewartawanan yang memberikan khidmat bakti penuh profesional dan bertanggungjawab apabila media menjadi medan untuk memberikan penerangan, pencerahan kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan tersebut.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif dan Ketua Biro Bernama Pulau Pinang R. Ratcharathan.
Sementara itu, Zulkifli berkata satu mesyuarat jawatankuasa induk akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan segala aspek persiapan, termasuk pengisian program dan penglibatan agensi berkaitan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan komitmen penuh serta kerjasama sebaik mungkin dalam memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut.
Pada 27 Feb lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan HAWANA 2026 bakal berlangsung di Pulau Pinang pada Jun ini dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, acara yang menjadi platform penting dalam menghargai peranan pengamal media di Malaysia selain memperkukuh ekosistem kewartawanan itu pernah diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Kuching.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial