Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
PORT KLANG, 24 April (Bernama) -- Apabila gempa bumi kuat melanda tengah Myanmar pada Mac 2025 sehingga menyebabkan kemusnahan meluas, ribuan penduduk memerlukan bantuan menyelamatkan nyawa dengan segera.
Dalam bencana seperti ini, kelangsungan hidup sering ditentukan pada saat-saat kritikal pertama. Apa yang paling penting bukan sahaja skala bantuan, tetapi juga seberapa pantas bantuan itu dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas.
Sementara itu, sebuah gudang berhampiran Pelabuhan Utara Klang sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga.
Di dalam ruang yang luas itu, deretan kotak dan peti yang dilabel dengan teliti, sarat dengan barangan keperluan seperti selimut, bekas air (jerry can), kanvas tarpaulin dan set kit kebersihan disimpan dalam keadaan siap sedia untuk dihantar segera melalui udara atau laut pada bila-bila masa apabila berlaku kecemasan.
Dari sini, barangan bantuan boleh dihantar ke zon bencana seperti di Myanmar, Filipina, Bangladesh dan Pakistan serta banyak lagi negara dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Kemudahan yang beroperasi 24 jam sehari oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) itu merupakan satu daripada hab logistik kemanusiaan utama organisasi berkenaan bagi memudahkan respons pantas terhadap bencana serta memastikan bantuan segera sampai kepada komuniti terjejas tanpa berlengah.
Barisan Hadapan Respons Global
Ditubuhkan pada 2006 susulan tsunami Lautan Hindi 2004, kemudahan seluas 32,000 kaki persegi itu direka untuk mengagihkan operasi bantuan global IFRC serta membolehkan respons kecemasan yang lebih pantas dan berkesan kepada komuniti terjejas.
Dengan kapasiti menyimpan dianggarkan 300 tan bekalan kemanusiaan penting, gudang itu merupakan satu daripada hanya dua kemudahan serantau IFRC yang membekalkan barangan bantuan kemanusiaan ke negara lain.
Satu lagi kemudahan terletak di Brisbane, Australia yang lebih kecil dan memberi tumpuan kepada negara Oceania, manakala hab Malaysia meliputi rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
Dua dekad kemudian, gudang itu kini menjadi tunjang penting kepada operasi IFRC di rantau ini selain merupakan antara stok simpanan strategik terpenting organisasi berkenaan.
Kini, ia menyokong 38 Persatuan Kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta telah membantu lebih 550 situasi kecemasan di seluruh dunia termasuk pandemik COVID-19, banjir Pakistan 2022, gempa bumi Turkiye 2023 dan gempa bumi Myanmar 2025.
Tanpa publisiti, namun sentiasa antara yang terawal memberi respons.
Peranan Strategik Malaysia
Di sebalik operasi penting menyelamatkan nyawa itu ialah sokongan signifikan Malaysia.
Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan Serantau IFRC Asia Pasifik, Rishi Ramrakha berkata infrastruktur, kesalinghubungan dan dasar negara membolehkan IFRC beroperasi dengan pantas serta cekap.
“Kos menjalankan operasi di Malaysia sedikit lebih rendah berbanding bandar pelabuhan lain seperti Thailand, Hong Kong atau Shanghai. Tetapi satu lagi faktor utama ialah hubungan baik kami dengan kerajaan.
“Mereka (Kerajaan Malaysia) memberi keistimewaan dan pengecualian kepada kami untuk menyimpan stok ini, yang dikecualikan daripada duti dan cukai,” katanya kepada BERNAMA dalam temu bual eksklusif di gudang berkenaan baru-baru ini.
Sebagai satu daripada hab logistik utama di Asia Pasifik, lokasi strategik Pelabuhan Klang di sepanjang Selat Melaka, laluan maritim penting dunia, serta infrastruktur kukuh dan rangkaian penerbangan Malaysia yang baik turut membolehkan IFRC menyelaras mobilisasi pantas pasukan dan barang bantuan.
“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kami memperoleh perjanjian status yang membolehkan kami beroperasi sebagai badan serantau yang menyokong 38 persatuan kebangsaan (di negara lain) dari Malaysia.
“Ini membolehkan kakitangan dan bekalan kami bergerak pantas merentasi rantau ini melalui sambungan penerbangan terus,” katanya.
Beliau menambah susunan itu memastikan barangan bukan makanan penting seperti khemah, selimut, kanvas pelindung dan kit kebersihan dapat dihantar dengan cepat ke kawasan terjejas tanpa mengira kerumitan situasi serantau.
Cabaran Peringkat Akhir Penghantaran
Apabila krisis berlaku sama ada gempa bumi di Nepal, taufan di Filipina atau banjir besar di Bangladesh, pasukan IFRC yang berpangkalan di Kuala Lumpur akan menyediakan senarai pembungkusan, mendapatkan dokumentasi dan bersedia menghantar bantuan.
Namun, cabaran tidak berakhir sebaik sahaja bekalan meninggalkan Malaysia.
Dalam landskap geopolitik kompleks yang boleh menjejaskan penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa akibat pertikaian sempadan atau perbezaan ideologi politik, Ramrakha berkata kemasukan ke negara yang dilanda bencana sering memerlukan usaha diplomatik rumit berpandukan Undang-Undang Bencana Antarabangsa.
Beliau berkata IFRC juga banyak bergantung kepada prinsip berkecuali yang ketat bagi memastikan akses selamat kepada komuniti paling terjejas.
“Mendapat pengecualian duti dan cukai serta kebenaran mendaratkan bekalan antarabangsa boleh mengambil masa tiga hingga lima hari,” katanya sambil menjelaskan kerajaan perlu mengisytiharkan darurat antarabangsa secara rasmi sebelum barangan boleh memasuki sempadan negara.
Sebaik tiba di lokasi, katanya Persatuan Kebangsaan tempatan akan mengambil alih perancangan peringkat akhir penghantaran dengan berunding secara langsung dengan pihak berkuasa tempatan atau dalam sesetengah kes kumpulan bertelagah, sekali gus menekankan kepentingan kakitangan IFRC memahami konteks tempatan dan dinamika politik di kawasan berisiko tinggi.
Persekitaran Krisis Semakin Kompleks
Apabila krisis semakin berpanjangan akibat perubahan iklim, bencana alam seperti banjir sering bertindih dengan kecemasan kesihatan seperti wabak denggi, menjadikan respons kemanusiaan lebih kompleks.
Bagi menangani kerumitan yang semakin meningkat ini, Ramrakha berkata IFRC banyak bergantung kepada pembiayaan berasaskan ramalan.
Dengan meramal lokasi krisis didorong perubahan iklim seperti gelombang haba teruk atau taufan, mereka boleh membuat pembelian awal serta menggilirkan stok simpanan standard yang kebanyakannya diperoleh dari China, Vietnam dan India.
“Apabila kami melabur dalam kesiapsiagaan, bagi setiap satu dolar yang dilaburkan, kami dapat menjimatkan kira-kira tujuh dolar semasa respons,” katanya.
Beliau menambah hab Malaysia turut memastikan tiada pembaziran dana bantuan global melalui pematuhan prosedur gudang yang ketat termasuk penggiliran barangan mudah rosak seperti kelambu berubat dan kit kebersihan.
Gudang itu juga perlu menjalankan pensampelan kawalan kualiti sendiri bagi setiap jenis barangan mudah rosak untuk memastikan ketahanan dan kesesuaiannya digunakan dalam misi kemanusiaan.
Talian Hayat Global
Walaupun gudang itu memberi tumpuan utama kepada rantau Asia Pasifik, ia sering memainkan peranan global dengan menyokong operasi kemanusiaan berskala besar termasuk di Haiti, Ukraine serta gempa bumi Turkiye-Syria pada 2023.
Lebih penting, hab Malaysia juga berfungsi sebagai sokongan sandaran bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara secara lebih luas.
“Ia bukan hanya untuk Malaysia atau Asia. Ia merupakan stok simpanan global. Kami menyediakan sokongan merentas rantau. Sebagai contoh, kira-kira setahun lalu apabila gudang di Dubai kehabisan stok, barangan dipindahkan dari sini ke Syria dan Palestin bagi menampung kekurangan,” katanya.
Ramrakha turut menjelaskan peranan berbeza dalam rangkaian Palang Merah global.
Beliau berkata Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bertanggungjawab menyokong negara yang berdepan konflik dan peperangan, manakala IFRC memberi tumpuan kepada bencana alam serta menyediakan platform kepada 191 Persatuan Kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia untuk memperkukuh keupayaan respons bencana masing-masing.
Namun, katanya, sempadan antara konflik dan bencana alam sering bertindih, memerlukan kerjasama rapat antara kedua-dua cabang organisasi itu.
“Kami bekerjasama. Jika mereka memerlukan stok, mereka boleh meminjam daripada saya, dan jika saya memerlukan stok, saya boleh meminjam daripada mereka.
“Dalam sesetengah keadaan, bencana alam berlaku di negara yang dilanda konflik, jadi kami perlu bersetuju tentang cara bekerjasama dalam situasi sedemikian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial