MEXICO CITY, 24 April (Bernama-Anadolu) -- Bayaran transit Terusan Panama melonjak sejak tercetusnya konflik di Asia Barat dan sekatan di Selat Hormuz, menurut pihak berkuasa terusan itu pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb bukan sahaja memberi kesan kepada harga tenaga global, malah turut mengubah laluan maritim antarabangsa, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap Terusan Panama.
Menurut Naib Presiden Kewangan terusan, Victor Vial, purata bayaran dalam sistem lelongan sebelum konflik Asia Barat berada pada sekitar US$135,000 hingga US$140,000.
Bagaimanapun, sejak konflik bermula khususnya sepanjang Mac dan April, purata bayaran itu meningkat sehingga US$385,000.
Pentadbir Terusan Panama, Ricaurte Vasquez Morales berkata kerajaan Panama telah mempergiat usaha bagi memastikan terusan itu terus mampan ketika permintaan terhadap transit dan jumlah tan meningkat pada separuh pertama tahun fiskal 2026.
“Di sebalik pelbagai kerumitan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk perubahan serta faktor yang menjejaskan perdagangan antarabangsa, Terusan Panama kekal dibuka dan boleh dipercayai.
“Ketika ini, paras air berada pada tahap optimum, membolehkan kami menampung jumlah trafik yang semakin meningkat,” katanya.
Sebanyak 6,288 transit direkodkan dari Oktober 2025 hingga Mac 2026, meningkat 224 transit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, sebanyak 254 juta tan PC/UMS, iaitu Sistem Pengukuran Sejagat Terusan Panama, melalui terusan berkenaan dalam tempoh itu.
Menurut pihak berkuasa terusan, aliran trafik kekal stabil sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan purata 34 kapal pada Januari dan 37 kapal pada Mac, selain hari puncak yang mencatatkan lebih 40 transit.
Bagi pengguna yang tidak membuat tempahan awal, pihak terusan menawarkan pilihan seperti tempahan saat akhir dan sistem lelongan.
Pada masa ini, antara tiga hingga lima slot ditawarkan setiap hari melalui sistem lelongan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial