KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kerajaan akan menumpukan kepada tiga strategi utama dalam berdepan gelombang kedua krisis bekalan tenaga dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pendekatan itu merangkumi langkah menjamin bekalan keperluan asas rakyat agar sentiasa mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat, serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas.
Kerajaan telah bertindak lebih awal dan akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan rakyat kekal dilindungi dalam menghadapi gelombang kedua ini.
“Strategi ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat terus dilindungi sementara negara menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan global.
“Dalam menghadapi tekanan ini, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggungnya bersendirian,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan hari ini.
Fadillah berkata gelombang kedua krisis dijangka berkembang secara berperingkat, dan rakyat akan melihat pelarasan harga bagi barangan tertentu atau gangguan bekalan sementara dalam tempoh akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan komited untuk memastikan kesan kepada rakyat diminimumkan dan kerajaan akan terus mengurus perubahan itu dengan teliti supaya kesannya dapat dikawal.
“Kini, dunia sedang memasuki gelombang kedua, iaitu gangguan kepada bekalan barangan berasaskan minyak dan gas yang menyokong pelbagai sektor serta keperluan harian merangkumi pembungkusan makanan, barangan pengguna, sektor kesihatan serta logistik.
“Apabila bekalan global terganggu, pengeluaran akan menjadi terhad dan kos akan meningkat. Kesan ini dijangka dirasai secara berperingkat dalam tempoh akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata usaha kerajaan perlu disokong oleh semua pihak dan rakyat diseru untuk menggunakan sumber secara berhemat, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial