WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Konvoi Motosikal Kelantan: Tindakan Adun Sangat Tidak Bertanggungjawab - Loke

25/04/2026 02:50 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan untuk menganjurkan konvoi Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan merupakan suatu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu. 

"Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?.

"Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan?," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi di LTSIP, Loke berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik untuk mengadakan sekatan jalan raya petang ini.

Langkah berkenaan, katanya bertujuan memeriksa semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang petang ini tanpa pengecualian termasuk mana-mana Yang Berhormat (YB) yang membawa motor.

Media sebelum ini melaporkan satu program konvoi motosikal dan sesi lepak santai bersama wakil rakyat Kelantan akan diadakan hari ini dengan lokasi tumpuan termasuk bangunan baharu LTSIP.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan