WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ Kutip Hasil Bidaan RM21.6 Juta Bagi Nombor Pendaftaran Istimewa Siri ‘P_P’

25/04/2026 03:21 PM

BATU KAWAN, 25 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil bidaan bernilai lebih RM21.6 juta bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri 'P_P’ sempena sambutan ulang tahun JPJ ke-80.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dalam tempoh lima hari bidaan berakhir 10 malam tadi, P1P mencatat bidaan tertinggi dengan RM1.1 juta, diikuti P9P (RM1,000,777), P8P (RM613,000),  P6P (RM 600,777) dan P2P (RM512,000).

“NPI siri P__P dibuka untuk bidaan melalui Sistem JPJeBid bermula 20 April sehingga 24 April (semalam), dengan jumlah penyertaan keseluruhan pembida sebanyak 19,370 orang dan 5,973 nombor pendaftaran berjaya memenangi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Loke berkata lima nombor paling banyak dibida ialah P1177P dengan 26 pembida, P313P dan P22P masing-masing 24 pembida, manakala P411 P serta P888P juga masing-masing sebanyak 22 pembida.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu tiada nombor pendaftaran yang disekat untuk siri ini dan baki 4,026 nombor pendaftaran akan ditawarkan kepada orang awam selepas bidaan tersebut ditutup dengan kadar minimum.

Katanya hasil bidaan NPI termasuk siri P_P akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti program MyLESEN dan pertukaran topi keledar.

Sebelum ini, Aedy Fadly ketika melancarkan NPI di The Top Komtar, berkata penawaran nombor siri eksklusif ini merupakan simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan jabatan dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

Beliau berkata signifikan pemilihan tanda Indeks NPI siri 'P_P’ ini berkaitan dengan pengangkutan dan juga penguatkuasaan selain sinonim dengan Pulau Pinang sebagai lokasi sambutan ulang tahun bagi tahun ini.

—BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan