WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NADI Diiktiraf Sebagai Ahli Pusat Transformasi Digital ITU

25/04/2026 05:56 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 April (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini secara rasmi diterima sebagai ahli Pusat Transformasi Digital (Digital Transformation Centres - DTC) dalam rangkaian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pengiktirafan itu menjadi bukti bahawa usaha pada peringkat komuniti memberikan impak besar sehingga mendapat pengiktirafan pada peringkat global.

Beliau berkata lebih membanggakan, pengiktirafan itu hadir selepas NADI turut menerima anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes dalam kategori Capacity Building (pembinaan kapasiti) pada tahun lepas.

“MCMC akan terus komited memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti digital negara melalui peluasan program literasi digital, pembangunan kemahiran baharu serta akses kepada lebih banyak peluang untuk masyarakat.

“Fokus kita jelas, iaitu memastikan rakyat bukan sahaja mempunyai akses kepada teknologi, tetapi mampu memanfaatkannya untuk mengubah kehidupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan NADI MCMC sebagai Pusat Transformasi Digital ITU di NADI Kubang Semang, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata sehingga kini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara dengan jumlah keahlian mencecah 1.9 juta, sekali gus membuktikan penerimaan baik masyarakat serta peranannya sebagai platform penting membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan teknologi.

Beliau berkata impak NADI terserlah melalui pelaksanaan Perkhidmatan Pintar yang memberikan fokus kepada lima teras utama, iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan berkenaan menjadikan NADI sebagai pusat ke-16 dunia dalam rangkaian global ITU-DTC.

Menurut kenyataan itu, keahlian berkenaan membuktikan komitmen Malaysia dalam memperluas keterangkuman digital, khususnya kepada komuniti luar bandar dan golongan kurang akses kepada teknologi.

“MCMC menyasarkan untuk melatih 180,000 usahawan melalui 18 modul yang disediakan di 1,099 NADI di seluruh negara.

“Selain itu, NADI turut mendapat akses kepada modul latihan antarabangsa daripada rakan strategik global seperti Cisco Systems, sekali gus memperkukuh kualiti latihan serta keupayaan tenaga pengajar,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, keahlian itu turut membuka ruang kepada pensijilan digital bertaraf global, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran bakat tempatan dalam ekonomi digital.

Pelaksanaan inisiatif itu tidak melibatkan pertambahan kos kepada kerajaan kerana memanfaatkan kerjasama strategik antarabangsa sedia ada.

“Pengiktirafan ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan MCMC komited memperkukuh peranan NADI sebagai platform pembangunan komuniti digital negara.

“Dengan penyertaan dalam rangkaian ITU-DTC, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju keterangkuman digital di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan