ARAU, 25 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menubuhkan fakulti baharu, Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) yang menjadi antara pemacu utama universiti dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merasmikan fakulti itu dalam lawatan kerja beliau ke UniMAP di sini hari ini.
Naib Canselor UniMAP Datuk Profesor Dr Zaliman Sauli dalam kenyataan hari ini berkata penubuhan fakulti itu gabungan Jabatan Komputer dan Jabatan Matematik yang disatukan bagi memperkukuh bidang pendidikan, penyelidikan serta inovasi berteraskan komputeran cerdas.
Zaliman berkata FKC menawarkan lapan program akademik merangkumi diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dengan kekuatan dalam bidang kejuruteraan komputer, sains data, reka bentuk sistem terbenam serta matematik.
“Fakulti ini menempatkan lebih 900 penuntut daripada pelbagai peringkat pengajian. Sebagai nilai tambah kepada pembangunan pelajar, FKC turut menyediakan peluang pensijilan profesional melalui kerjasama industri seperti Huawei selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi global,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu membantu memperkukuh kompetensi pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Zaliman berkata FKC dilengkapi kemudahan makmal seperti makmal National Instruments yang menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan berasaskan aplikasi sebenar.
Pada lawatan kerja itu, Zambry turut merasmikan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UniMAP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial