WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Iran Kecam Tindakan AS Sita Kapal Komersial Di Laut Oman

25/04/2026 06:46 PM

WASHINGTON, 25 April (Bernama-Anadolu) -- Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengecam laporan penyitaan sebuah kapal komersial oleh Amerika Syarikat (AS) di Laut Oman, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Serangan AS dan penyitaan haram terhadap kapal komersial Iran, Toska, serta penahanan anak kapalnya sebagai tebusan pada 19 April di Laut Oman, ketika membawa bekalan dialisis penting dan peralatan perubatan merupakan pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa, termasuk larangan mutlak terhadap pencerobohan, hak asasi manusia dan hak untuk hidup,” menurut misi itu di platform X.

Misi itu berhujah bahawa insiden berkenaan secara langsung mengancam kesihatan dan kelangsungan hidup orang awam.

“Tindakan paksaan dan menyalahi undang-undang ini membahayakan nyawa, menjejaskan kebebasan pelayaran dan meletakkan pesakit yang rentan dalam risiko besar. Pelakunya mesti bertanggungjawab,” menurut misi itu.

Awal minggu ini, misi berkenaan menghantar surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan presiden Majlis Keselamatan PBB berhubung perkara itu.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa PBB “tidak mempunyai maklumat khusus” mengenai kandungan kapal itu.

“Namun apa yang kami lihat dan kami bimbangi, ialah penyitaan kapal yang berterusan oleh kedua-dua Iran dan AS di selat itu,” kata Dujarric.

Beliau berkata penutupan berterusan Selat Hormuz memberi kesan kemanusiaan kepada Iran dan negara-negara lain di Teluk.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan