WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelantikan KP SPRM Baharu Perkukuh Keyakinan Rakyat - Tengku Zafrul

26/04/2026 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi itu, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata latar belakang Abdul Halim sebagai bekas hakim, memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan integriti SPRM.

“Saya menyambut baik pelantikan ini. Beliau seorang bekas hakim dan ini akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap SPRM,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program bersama komuniti di Kompleks Muhibbah di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata perkara paling penting ialah memastikan SPRM terus dilihat bebas, profesional dan berintegriti.

Beliau berkata pelantikan individu berintegriti, akan membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha membanteras rasuah.

“Bagi rakyat dan juga bagi saya yang penting ialah kalau kita lihat SPRM ini mesti terus dilihat bebas, terus dilihat profesional dan berintegriti dan saya percaya dengan kepimpinan baharu. Beliau akan dilihat secara positif oleh rakyat,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini, bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 12 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan