BOGOTA (Colombia), 26 April (Bernama-Anadolu) -- Angka kematian meningkat kepada 14 manakala 38 orang cedera dalam serangan bom di barat daya Colombia, kata pihak berkuasa Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Suatu bahan letupan, yang ditanam di dalam pembentung di lebuh raya Pan-Amerika di Cajibio di wilayah Cauca, telah diletupkan ketika kenderaan melalui jalan berkenaan.
Tujuh orang maut di tempat kejadian manakala 20 yang lain cedera termasuk beberapa dalam keadaan parah.
Pasukan keselamatan telah dikerahkan ke kawasan itu berikutan letupan yang menurut saksi berlaku semasa trafik sesak.
Sebuah bas luar bandar tradisional yang dikenali sebagai "chiva" musnah dalam letupan itu, yang turut merosakkan kenderaan dan mengakibatkan kawah besar terbentuk di jalan raya.
Presiden Gustavo Petro menyalahkan Ivan Mordisco, ketua puak EMC kumpulan pemberontak FARC, atas serangan itu.
"Mereka yang membunuh tujuh orang awam dan mencederakan 20 orang awam di Cajibio ialah pengganas, fasis dan pengedar dadah," tulis Petro di media sosial, mengarahkan operasi ketenteraan dipertingkatkan dan pengesanan global kumpulan itu.
Dalam kejadian berasingan, dua orang cedera dalam pengeboman bas berhampiran pangkalan tentera di bandar Cali.
Gabenor Cauca Octavio Guzman menyifatkan serangan itu sebagai tragedi yang menyebabkan kesedihan mendalam penduduk tempatan selain mengesahkan jumlah kematian yang dikemas kini dan mangsa kanak-kanak antara yang maut.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial