WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyertaan Ramai Golongan Muda Dalam UMNO Satu Perkembangan Positif - Zambry

26/04/2026 05:30 PM

TANJONG MALIM, 26 April (Bernama) -- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan penyertaan ramai golongan muda dalam parti melalui inisiatif Rumah Bangsa sebagai satu perkembangan yang positif.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata situasi itu menunjukkan peningkatan minat dan keterbukaan golongan berkenaan terhadap UMNO.

Beliau berkata sambutan yang menggalakkan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh UMNO bagi membina dan memperkukuh hubungan bersama golongan berkenaan.

“Kami (UMNO) mendapat sambutan (untuk menyertai parti) yang begitu menggalakkan, khususnya daripada anak-anak muda, iaitu lebih 60 peratus. Jadi, ini menunjukkan satu perkembangan yang baik dan kami akan lebih bersifat ‘engage’ dengan anak-anak muda ini,” katanya di sini hari ini. 

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 dan Majlis Prapelancaran Anugerah Pendidik Global 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini.

Pada Jumaat lepas, Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kira-kira 60 peratus atau 6,009 daripada lebih 10,000 permohonan menyertai UMNO sebagai ahli baharu menerusi inisiatif Rumah Bangsa terdiri daripada golongan muda berusia di bawah 40 tahun.

Ahmad, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata permohonan yang diterima termasuk melalui sayap Wanita dan Puteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan