ISTANBUL, 26 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Sabtu, Tehran tidak akan terlibat dalam perbincangan (rundingan damai) dalam keadaan di bawah tekanan, ancaman atau sekatan.
Beliau menekankan bahawa membina semula kepercayaan memerlukan penamatan permusuhan dan jaminan tiada pengulangan, menurut kenyataan presiden Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Pezeshkian berkata mencapai titik persamaan dan mewujudkan persekitaran sesuai untuk dialog yang berkesan adalah penting bagi sebarang kemajuan.
Beliau berkata rundingan lepas hanya meningkatkan ketidakpercayaan orang ramai terhadap Iran, dan bercakap tentang dialog bersama sekatan, tekanan dan sekatan menjejaskan keyakinan antara pihak.
Pezeshkian menegaskan bahawa menghentikan dasar yang bermusuhan dan memastikan ia tidak berulang ialah syarat yang diperlukan untuk menyelesaikan pertikaian.
Beliau juga berkata peningkatan kehadiran tentera merumitkan lagi keadaan dan melemahkan suasana yang diperlukan untuk dialog.
Kenyataan itu dibuat ketika Pakistan meneruskan usaha untuk menghidupkan semula rundingan yang terhenti antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berikutan ketegangan serantau selama berminggu-minggu.
Pusingan pertama rundingan diadakan di Islamabad dua minggu lepas namun gagal menghasilkan kata putus untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Feb dan kemudian merebak ke seluruh Asia Barat.
Rundingan itu menyusuli gencatan senjata dua minggu yang diusahakan oleh Pakistan pada 8 April, yang kemudian dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial