WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kereta Api Sabah: Sistem Bayar Tiket Tanpa Tunai Dijangka Siap Jun Ini

26/04/2026 03:20 PM

KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini sedang dalam usaha membangunkan satu sistem pembayaran tanpa tunai bagi penumpang harian, yang dijangka siap Jun tahun ini.

Pengarahnya Mohammad Safri Abdul Habi berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan jabatan berkenaan, sekali gus komitmen menyediakan kemudahan pembayaran lebih mudah dan efisien kepada pengguna kereta api di negeri Sabah.

“Dari segi pelaksanaan (sistem pembayaran tiket) tanpa tunai, JKNS telah memperkenalkannya menerusi pakej pelancongan kami. Pembelian tiket dibuat secara dalam talian.

“Kami juga dalam proses membangunkan satu kaedah sistem pembayaran tanpa tunai, melibatkan penumpang harian dan program ini dijangka siap pada Jun tahun ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Semalam, Bernama melaporkan perkhidmatan kereta api di Sabah kekal menjadi pilihan dan masih relevan sebagai pengangkutan harian rakyat negeri itu, terutama bagi mereka yang mencari alternatif lebih menjimatkan.

Namun, rata-rata pengguna berpendapat sistem pembayaran tiket sedia ada perlu dimodenkan dengan pelaksanaan kaedah tanpa tunai, sejajar perkembangan teknologi masa kini agar lebih pantas serta efisien.

Mohammad Safri berkata JKNS akan melaksanakan fasa percubaan terlebih dahulu, selepas pembangunan sistem pembayaran tanpa tunai itu disiapkan.

Beliau berkata ini termasuk mengoperasikan projek rintis pada tahun ini, bagi memastikan sistem tersebut benar-benar berfungsi dengan baik sebelum dilaksanakan.

“Pembangunan sistem itu akan turut melibatkan penyediaan infrastruktur bersesuaian,” katanya.

Mengenai kadar tambang perkhidmatan kereta api, Mohammad Safri berkata kadar semasa dikenakan adalah pada kadar lima sen bagi setiap kilometer.

Beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan satu kajian bagi meneliti semula kadar tarif tersebut dan dapatan kajian itu sedang diperhalusi, sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada kementerian berkaitan untuk pertimbangan lanjut.

“JKNS sedang memuktamadkan kajian tersebut. Sebarang keputusan untuk menyemak semula tarif (kadar tambang) sedia ada, akan disyorkan kepada kementerian.

“Sekiranya kementerian berpendapat ia perlu disemak, perkara itu akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan,” jelasnya.

Beliau berkata keputusan muktamad mengenai kadar tambang baharu tertakluk kepada Kabinet negeri, memandangkan perkhidmatan kereta api Sabah ketika ini bersifat tanggungjawab sosial kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Safri berkata JKNS sentiasa komited memberi penekanan terhadap aspek keselesaan pengguna, termasuk menerusi program transformasi aset dan rolling stock.

Beliau berkata program transformasi itu akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan cadangan jabatan, namun bergantung kepada kelulusan serta kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Perkhidmatan kereta api Sabah beroperasi melibatkan 15 laluan stesen bermula dari Sembulan dan berakhir di Tenom, dengan kadar tambang sehala antara 40 sen hingga RM7.20 bagi penumpang dewasa, manakala bagi kanak-kanak antara 20 sen hingga RM3.75.

Stesen kereta api terlibat ialah Sembulan–Tanjung Aru–Putatan–Kinarut–Kawang–Papar–Kimanis–Bongawan–Membakut–Beaufort–Saliwangan Baru–Halogilat–Rayoh–Pangi–Tenom.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri Datuk Ewon Benedick, memaklumkan kajian melibatkan semakan kadar tambang perkhidmatan kereta api telah mencapai kemajuan 90 peratus.

Kajian kebolehlaksanaan laluan Putatan-KKIP-Sepanggar pula dijangka mengambil tempoh 12 bulan dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperluas rangkaian kereta api di Sabah.

Kementerian itu juga akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah pada tahun ini, dengan penglibatan JKNS dalam jawatankuasa pemandu dan teknikal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan