WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Ucap Takziah Atas Pemergian Jurugambar Bernama, Sifatkan Allahyarham Amat Dedikasi Dalam Tugas

26/04/2026 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sarawak Muhamad Razali Nordin, yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi ini.

Menerusi catatan di Facebook, Fahmi berkata rakan-rakan dalam industri media mengenali Allahyarham sebagai seorang yang amat berdedikasi dan komited, dalam melaksanakan amanah sepanjang hampir tiga dekad perkhidmatannya bersama Bernama.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga, rakan-rakan seperjuangan serta sahabat handai Allahyarham. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini.

“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Allahyarham, 54, yang berasal dari Batu Gajah, Perak dikenali sebagai seorang yang berdedikasi serta komited dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh tiga dekad perkhidmatannya di Bernama.

Muhamad Razali memulakan kerjaya di ibu pejabat Bernama pada 1996 sebelum bertugas di Biro Sarawak pada 2002, Biro Selangor pada 2004 dan kembali ke ibu pejabat pada 2009, sebelum ditempatkan semula di Biro Sarawak pada 2011 sehingga kini.

Difahamkan beliau menghidap beberapa penyakit kronik termasuk masalah jantung, hati dan buah pinggang.

Keadaan kesihatannya mula merosot sejak Ramadan lepas sehingga beliau terlantar di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya, sebelum dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Allahyarham sebelum ini juga pernah menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan terhadap pengamal media di bawah Kementerian Komunikasi.

Sepanjang berkhidmat di Bernama, beliau banyak menyumbang kepada kelancaran operasi di biro Sarawak dan disenangi rakan sekerja kerana sikapnya yang peramah serta mudah bekerjasama.

Muhamad Razali meninggalkan seorang balu Ratnawaty Abdul Hai serta empat anak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan