WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Negeri Akan Perjelas Isu Banjir Pada Sidang DUN Selangor - Amirudin

26/04/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan penjelasan terperinci mengenai status, kemajuan dan cabaran projek tebatan banjir pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata isu banjir yang dibangkitkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi keutamaan kerajaan negeri, sekali gus mendorong kepada pelaksanaan pelbagai langkah penambahbaikan sejak beberapa tahun lepas.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas bagi menangani isu banjir, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran perubahan iklim.

“Perkara itu melibatkan pelbagai aspek teknikal dan dasar. Justeru, satu penjelasan menyeluruh akan dibuat oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim selepas sesi perbahasan di DUN Selangor pada Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 Peringkat Parlimen Gombak melibatkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang di Masjid Al-Hidayah di sini hari ini.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak berkata kerajaan negeri juga telah mengorak langkah dengan menjalin kerjasama dengan Belanda bagi meningkatkan strategi pengurusan banjir melalui projek rintis yang dijalankan di Sungai Bernam di Sabak Bernam.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan dan mengawal risiko banjir menerusi kepakaran teknikal dan kejuruteraan asing dengan penglibatan agensi teknikal tempatan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Amirudin bagaimanapun mengakui terdapat beberapa projek mitigasi banjir yang mengambil masa lebih panjang untuk disiapkan berikutan perubahan struktur dan keperluan penyesuaian semula perancangan.

“Sebahagian projek juga melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan termasuk projek di Sungai Langat yang masih tertakluk kepada proses kawal selia dan kelulusan,” katanya.

Amirudin berkata meskipun berdepan cabaran, pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri itu berjalan secara konsisten dengan menyaksikan kesinambungan dari tahun sebelumnya.

Beliau berkata beberapa kawasan menunjukkan perkembangan positif termasuk di Bukit Lanchong, Subang Jaya yang sebelum ini sering dilanda banjir, namun kini mencatatkan pengurangan yang signifikan selepas kerja naik taraf projek tebatan banjir dilaksanakan pada 2021.

“Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, kawasan itu tidak lagi mengalami banjir besar hasil penambahbaikan yang dilaksanakan,” katanya.

Amirudin berkata kerja-kerja mendalam dan pembersihan dasar Sungai Klang juga berjaya meningkatkan kapasiti sungai sehingga 20 peratus, sekali gus mengurangkan risiko limpahan air.

“Kami sedar isu banjir mendapat perhatian ramai. Jadi, kerajaan negeri akan menjawab secara berhemah dan tersusun bagi memastikan semua langkah yang diambil dapat difahami dengan jelas oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menyampaikan insentif RM1,500 seorang kepada 236 bakal haji meliputi kawasan Gombak yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (Yayasan MBI).

Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 6,000 jemaah yang dikenal pasti dapat dibantu menerusi program berkenaan melibatkan peruntukan RM9 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan